PRN : Rundingan agihan kerusi DUN parti komponen PN masih berjalan - Utusan Malaysia

PRN : Rundingan agihan kerusi DUN parti komponen PN masih berjalan

AHMAD Samsuri Mokhtar (tengah) bersama sebahagian peserta Seminar on Technology And The Future Growth: Challenges of Change di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Rundingan pengagihan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang melibatkan parti komponen Perikatan Nasional (PN) di Terengganu masih berjalan sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bagaimanapun menegaskan, perkara itu bukan sesuatu yang sukar untuk dibincangkan kerana parti komponen PN sentiasa mengambil kira beberapa faktor sebelum memuktamadkan agihan.

“Buat masa ini, perbincangan itu masih berjalan untuk kita mengagihkan kerusi bagi menghadapi PRN tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman agihan kerusi dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) yang lalu, perkara ini bukanlah sukar untuk kami dalam PN selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Seminar on Technology And The Future Growth: Challenges of Change di Primula Beach Hotel, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disahkan akan bertanding dalam PRN nanti.

“Ada kerusi untuk Bersatu tapi kita tak boleh beritahu lagi berapa jumlahnya, tapi untuk Parti Gerakan belum tahu lagi,” katanya.

Pada PRU-14 yang lalu, Pas memiliki 22 kerusi DUN di Terengganu manakala Barisan Nasional (BN) menang di 10 kerusi.

Ditanya mengenai manifesto yang bakal ditawarkan kepada rakyat Terengganu pula, Ahmad Samsuri memberitahu, perbincangannya kini berada di peringkat yang terakhir.

“Ia masih lagi dalam penelitian kerana senarai (manifesto yang dicadangkan) itu banyak, melibatkan pelbagai perkara ekonomi rakyat dan perubahan struktur dalam pentadbiran.

“Kita akan umumkan apabila tiba masanya nanti sama ada jumlahnya sama seperti 20 tawaran manifesto pada PRU-14 atau kurang sedikit dari itu.

“Setakat ini, kesemua 20 manifesto dahulu telah pun ditunaikan, ada yang dalam proses, namun semuanya dalam perjalanan (untuk dilaksanakan),” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya