PRN peluang rakyat Kedah perbetul kesilapan - Utusan Malaysia

PRN peluang rakyat Kedah perbetul kesilapan

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi merupakan peluang kepada rakyat Kedah untuk memperbetul ‘kesilapan’ kerana memberi kemenangan besar kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kesilapan itu boleh difahami kerana rakyat sering didengarkan dengan dakwaan tidak berasas mengenai pelbagai perkara negatif sekiranya PH dibenarkan memerintah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Antara dakwaan negatif tersebut katanya, termasuklah kononnya PH akan menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sehingga akan membenarkan perkahwinan antara lelaki dengan lelaki.

“Mungkin kerana selalu mendengar dakwaan tak berasas, akhirnya ada yang percaya habis-habisan. Kononnya kalau PH perintah, lelaki boleh kahwin dengan lelaki dan perempuan perlu pakai skirt ke sekolah.

“Apabila kita sudah memerintah, rupa-rupanya baru tahu yang semua itu fitnah. Sebab itu apabila negeri ini tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tempoh hari, sebenarnya Allah atur elok nak bagi rakyat Kedah perbaiki kesilapan, supaya kita belajar daripada kesilapan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam Karnival Jelajah Perpaduan Rakyat di Padang Awam, Taman Kota Nelayan dekat sini.

Mahfuz berkata, persediaan untuk menghadapi PRN perlu dilakukan sekarang ketika PRN dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai.

“Kita harap semua pihak bersedia bagi memastikan kerajaan di Kedah ini sama dengan Kerajaan Persekutuan. Ketika ini pun Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sedang memikirkan untuk bertemu Perdana Menteri.

“Dulu beliau persoal bagaimana Anwar nak jadi Perdana Menteri kerana didakwa tidak memiliki moral tetapi kini nak jumpa pula dah,” katanya.

Beliau berkata, langkah untuk merampas kerajaan negeri juga perlu dilaksanakan bagi membersihkan imej negeri ini.

“Menteri Besar pun bercakap sampai tak ketahuan hala. Mari kita tebus malu apa dilakukan beliau supaya dapat memperbaiki imej Kedah menjadi lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya