Polis kenal pasti lori, tiga penunggang motosikal langgar lampu merah - Utusan Malaysia

Polis kenal pasti lori, tiga penunggang motosikal langgar lampu merah

TANGKAP layar kejadian tiga penunggang motosikal dan sebuah lori melanggar lampu isyarat merah sehingga hampir berlaku kemalangan di Kampung Acheh, Sitiawan kelmarin. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis sudah mengenal pasti seorang pemandu lori dan tiga penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat merah yang videonya tular dalam media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, menjelaskan keempat-empat mereka berusia antara 18 hingga 30 tahun akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk membantu siasatan.

“Kira-kira pukul 8.20 malam tadi, pihak IPD Manjung telah terkesan satu video berdurasi 16 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook bernama Chi Chot yang memaparkan kejadian empat kenderaan melanggar lampu isyarat merah.

“Satu laporan telah dibuat oleh pihak polis pada pukul 8.44 malam tadi bagi memulakan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan kemudian mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan persimpangan lampu isyarat berhampiran Kilang YTY Kampung Acheh, dekat sini, kira-kira pukul 4.50 petang kelmarin.

Katanya, kes disiasat di bawah Rule 17 LN 167/59 bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu agar membantu siasatan polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Asyraf Henry Philip di talian 016-5572540.

Nor Omar juga menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta sentiasa berhati-hati dan berhemah bagi menjamin keselamatan diri dan orang lain, sekali gus mengelak berlakunya kemalangan.

Terdahulu, tular video menunjukkan tiga penunggang motosikal memecut laju ketika lampu isyarat dalam proses bertukar hijau manakala sebuah lori bergerak laju dari arah kiri ke kanan, dipercayai mahu ‘mengejar’ lampu kuning yang sedang bertukar ke merah.

Perbuatan itu hampir menyebabkan berlaku kemalangan apabila lori tersebut memberhentikan kenderaan secara mengejut bagi mengelak melanggar penunggang motosikal terlibat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya