Polis cekup lima suspek disyaki ahli sindiket dadah

Polis cekup lima suspek disyaki ahli sindiket dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis melumpuhkan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah menerusi dua serbuan dengan merampas dadah seberat 1.67 kilogram (kg) di sebuah pondok berdekatan kandang lembu di Kampung Sungai Division, di sini baru-baru ini.

Serbuan melibatkan rampasan dadah bernilai RM58,496 tersebut dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, seramai lima lelaki termasuk seorang warga asing berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun ditahan dalam dua serbuan tersebut.

Zaidy berkata, serbuan pertama dijalankan pada pukul 11 malam, Isnin lepas dan berjaya menahan tiga lelaki termasuk warga asing terbabit.

“Hasil serbuan tersebut polis merampas dadah jenis heroin seberat 1660.5 gram (g) dan syabu seberat 1007.5g.

“Serbuan kedua di lokasi sama pada pukul 12.15 malam membawa kepada dua lagi penahanan membabitkan seorang pengembala lembu dan seorang pengawal keselamatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut beliau, ujian saringan air kencing kesemua suspek yang ditahan didapati negatif daripada sebarang jenis dadah, manakala tiga daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah.

Katanya, turut dirampas lima buah motosikal dan sejumlah wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah berjumlah RM 87,569. 

“Kesemua tangkapan kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.