Pertimbang semula pembinaan CIQS Serudong - Mohd. Shafie

Pertimbang semula pembinaan CIQS Serudong – Mohd. Shafie

MOHD. Shafie Apdal (tiga dari kanan) bersama Junz Wong (empat dari kiri) semasa majlis Tahun Baharu Cina Warisan Tanjung Aru di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal meminta kerajaan mempertimbangkan semula keperluan membina Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Serudong, Kalabakan di Tawau.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, rancangan pembinaan CIQS Serudong itu telah dikenal pasti di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) namun, pembinaannya ditangguhkan.

Justeru, beliau berharap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melihat semula keperluan mewujudkan CIQS Serudong.

“Tawau begitu hampir dengan utara Kalimantan dan CIQS Tawau itu telah dikenal pasti beberapa tahun lalu di bawah pemerintahan PH.

“Jadi perlu dilihat semula keperluan mewujudkan CIQS itu bagi membolehkan supaya hubungan erat dapat dilahirkan antara Kalimantan Utara dan juga rakyat Malaysia di utara Sabah,” katanya semasa majlis sambutan Tahun Baharu Cina Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong di Tanjung Aru hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Perdana Menteri untuk menaik taraf prasarana CIQS di sempadan Sabah dan Sarawak.

Langkah itu dilakukan susulan perbincangan Anwar bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini mengenai perpindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara, Kalimantan.

Mengulas lanjut katanya, semasa pemerintahan Warisan di Sabah, beliau juga telah mengadakan lawatan ke Kalimantan untuk melihat bagaimana hubungan Sabah dan Indonesia dapat dieratkan.

Mohd. Shafie berkata, pembinaan ICQS di Sabah perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan hubungan rakyat di Sabah dan Kalimantan dapat dipertingkatkan.

“Bukan hanya melihat dari sudut politik bahkan, hubungan masyarakat antara kedua-dua negara juga perlu dilihat.

“Malah, jika dilihat dalam sektor perladangan yang ada di negara ini, kita memerlukan tenaga buruh dari Indonesia jadi, kita perlu meneliti secara serius hubungan ini, bukan setakat pembinaan CIQS sahaja,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Anwar mengumumkan kelulusan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.

Jelas beliau, peruntukan tambahan bagi meningkatkan keupayaan CIQS dari segi keselamatan dan prasarana asas seperti jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.