Penuntut UiTM Dungun dikhuatiri lemas di Pantai Cherating - Utusan Malaysia

Penuntut UiTM Dungun dikhuatiri lemas di Pantai Cherating

PASUKAN Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Gebeng turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa dikhuatiri lemas di Pantai Cherating di Kampung Cherating Lama di Kuantan, Pahang. UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kegembiraan sekumpulan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berkelah di Pantai Cherating di Kampung Cherating Lama di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas ketika sedang mandi di situ kira-kira pukul 1.45 petang hari ini.

Mangsa, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, sedang melakukan aktiviti air di pantai itu bersama rakan-rakannya.

Menurutnya, mangsa bersama 19 orang lagi rakannya hadir ke pantai tersebut untuk berehat dan berkelah.

“Berdasarkan maklumat daripada rakan mangsa, ketika kejadian mereka sedang membuat permainan bulatan di dalam air sebelum datang ombak tinggi telah melanda kumpulan mereka.

“Akibat kejadian itu, mereka terpecah dan terpisah manakala mangsa dilihat saksi ditarik ke tempat yang lebih dalam.

“Semua penuntut yang terlibat itu telah menyelamatkan diri, namun mangsa yang pada ketika itu dilihat berada dalam keadaan panik mula hilang daripada pandangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, mangsa dipercayai memakai singlet celoreng hijau dan seluar pendek berwarna hitam ketika kejadian itu.

“Pada ketika ini operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan kekuatan seramai 16 anggota membabitkan polis dari Balai Polis Cherating dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daripada Balai Bomba Gebeng.

“Orang ramai turut membantu membuat pencarian di sepanjang pesisir pantai. Setakat ini pencarian masih negatif dan sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 1.54 petang.

Katanya, pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air dari BBP Kuantan, dalam operasi menyelamat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya