JOHOR BAHRU: Seorang wanita maut terperosok di bawah sebuah lori dalam kejadian kemalangan di Jalan Pandan, Kampung Melayu Majidee, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa, Nurhazliza Hashim, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Hadi Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian tersebut pada pukul 9.35 pagi.
Seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dihantar ke tempat kejadian.
“Kemalangan jalan raya tersebut melibatkan sebuah lori satu tan jenis Daihatsu dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z ditunggang mangsa terbabit.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal itu berada di bawah lori tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN