Peniaga dilepas tanpa bebas buat komunikasi jelik libatkan Najib, Rosmah - Utusan Malaysia

Peniaga dilepas tanpa bebas buat komunikasi jelik libatkan Najib, Rosmah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan membuat serta menghantar komunikasi jelik terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, lapan tahun lalu.

Hakim Nor Hasniah Ab. Razak memutuskan demikian selepas berpuas hati pertuduhan terhadap Syed Ahmad Saifullah Hashim, 34, cacat dan tidak berasas.

Mahkamah membenarkan bantahan awal peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Syed Ahmad Saifullah selaku Orang Kena Saman (OKS) pada prosiding yang turut dihadiri oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal.

Pada 21 Julai 2022, Syed Ahmad Saifullah mengaku tidak bersalah memuat naik satu kiriman jelik berkaitan bekas Perdana Menteri dan isteri melalui aplikasi Facebook “Syed Saifullah”.

Hantaran jelik itu menyatakan ‘pesawat yang dinaiki isteri dan PM dalam perjalanan pulang dari Perth telah hilang dari radar dan dijumpai terhempas di Lautan Sumatera Selatan. Al-Fatihah’.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu dengan niat menyakitkan hati orang lain antara 2 dan 4 April 2014.

Hantaran itu kemudiannya dibaca pada 11.35 malam di sebuah premis, di Plaza Pekeliling Jalan Kampar, Off Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 4 April 2014.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya selain denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.