Pengarah syarikat pelaburan dipenjara 3 bulan, denda RM10,000

Pengarah syarikat pelaburan dipenjara 3 bulan, denda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pelaburan dipenjara tiga bulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima wang deposit RM20,000 daripada seorang peniaga wanita tanpa lesen sah, dua tahun lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu ke atas Adam Raja Sulaim selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap bermula hari ini.

Tertuduh juga diperintahkan dipenjara sebulan, sekiranya gagal membayar denda itu.

Adam didakwa menerima deposit berjumlah RM20,000 daripada R. Prabha, 35, tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Kerinchi South, Brickfields pada 1 Mei 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahijman memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala Adam yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia telah insaf serta menanggung keluarga.

Mengikut fakta kes, pengadu iaitu mangsa dalam kes itu telah membuat laporan polis terhadap syarikat tertuduh yang didakwa menawarkan gaji lumayan ke atas deposit yang diberikan untuk tujuan pelaburan yang akan dibayar mengikut peratusan keuntungan.

Pengadu yang mempercayai tawaran tersebut telah membuat pelaburan dengan membayar deposit RM20,000 ke dalam akaun syarikat tertuduh secara berperingkat.

Hasil semakan dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati syarikat milik tertuduh tidak berdaftar untuk mengambil sebarang deposit daripada orang awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya