Penduduk Klebang kecewa, rumah RM50,000 jadi RM200,000

Penduduk Klebang kecewa, rumah RM50,000 jadi RM200,000

KAWASAN projek rumah kos rendah milik LPM sudah terbiar sejak 15 tahun lalu kini dipenuhi semak samun di Pulau Gadong, Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penduduk yang berhasrat ingin membeli rumah kos rendah di Pulau Gadong dekat sini kecewa apabila projek milik Lembaga Perumahan Melaka (LPM) itu masih belum dibina sejak 15 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Klebang Besar, Datuk Mohd. Yusof Abu Hasan berkata, penduduk menyuarakan rasa kecewa melihat tanah seluas 1.09 hektar berkenaan dipenuhi semak samun, tanpa sebarang tanda pembinaan akan dimulakan.

Lebih mengecewakan katanya, projek yang didakwa akan dihidupkan semula itu sudah bertukar status daripada rumah kos rendah berharga kurang RM50,000 kepada rumah mampu milik (RMM) bernilai lebih RM200,000.

“Selepas 15 tahun baru dapat tahu projek ini akan dimulakan tetapi 150 unit rumah yang akan dibina bukan kos rendah, sebaliknya ditukar kepada RMM.

“Ini benar-benar mengecewakan penduduk yang rata-rata memohon untuk membeli rumah tersebut kerana harga di bawah RM50,000, tetapi kita difahamkan LPM telah melantik sebuah syarikat pemaju untuk membina RMM.

“Sudah tentu dalam kalangan penduduk yang tergolong sebagai B40 tersentak apabila mendapat tahu projek yang terletak bersebelahan Taman Gadong Perdana tidak mampu untuk dibeli mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Mohd. Yusof turut meminta LPM mengkaji semula pertukaran status rumah berkenaan untuk membolehkan pembeli daripada golongan B40 dapat memilikinya.

Katanya, LPM sepatutnya berperanan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman dengan terus membina projek rumah kos rendah.

Sementara itu, seorang penduduk, Abdul Rahman Osman, 74, turut melahirkan rasa kecewa kerana sudah menunggu hampir 15 tahun untuk membeli rumah kos rendah berkenaan.

“Saya harap kerajaan negeri dapat menunaikan hajat penduduk di Klebang agar rumah kos rendah yang dijanjikan akan dibina untuk membangunkan semula projek ini,” ujarnya.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan status rumah tersebut sudah ditukar kepada RMM dan keadaan itu menyebabkan penduduk berpendapatan rendah tidak mampu untuk membelinya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.