Pembantu rumah asing antara lapan sektor dibenarkan RTK 2.0

Pembantu rumah asing antara lapan sektor dibenarkan RTK 2.0

KHAIRUL Dzaimee Daud ketika taklimat Program RTK 2.0 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang akan dibuka untuk permohonan pada 27 Januari ini turut membabitkan sektor pembantu rumah asing (PRA).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sektor PRA itu antara lapan sektor yang dibenarkan menerusi RTK 2.0 itu.

Beliau berkata, pihaknya menetapkan sembilan negara sumber bagi PRA iaitu Thailand, Kemboja, Nepal, Laos, Vietnam, Filipina, Sri Lanka, India dan Indonesia.

“Majikan yang memohon untuk mendapatkan PRA dikehendaki membayar sejumlah RM2,085 iaitu jauh lebih murah berbanding mendapatkannya sendiri dari negara sumber.

“Mereka (majikan) akan dikenakan RM1,500 bagi fi rekalibrasi, levi (RM410), Pas Lawatan Kerja Sementara (RM50) dan caj pemprosesan (RM125),” katanya dalam sesi taklimat bersama media di sini, hari ini.

Katanya, sektor lain yang dibenarkan termasuk perkilangan, pembinaan, perlombongan dan kuari, pengawal keselamatan, perkhidmatan, pertanian dan perladangan.

Khairul Dzaimee berkata, sektor yang masih dibekukan pula adalah perniagaan tekstil, tukang emas, tukang gunting rambut, rumah kebajikan dan kitar semula.

Menurutnya, pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin memohon perlu mempunyai majikan sah, tidak berada dalam senarai disyaki atau senarai hitam, mempunyai dokumen perjalanan negara asal (sah laku sekurang-kurangnya 18 bulan) dan telah menjalani saringan pemeriksaan kesihatan (Fomema).

“Selain itu, PATI yang melakukan kesalahan sebelum atau pada 31 Disember 2022 termasuk menetap tanpa pas sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas juga layak menyertai RTK 2.0,” katanya.

Katanya, majikan yang ingin menyertai program itu boleh mendaftar secara atas talian di https: //imigresen – online.imi.gov/myimms/main.

Jelasnya lagi, sebaik mendaftar, majikan akan diberi tarikh janji temu sebelum hadir bersama PATI untuk proses verifikasi (biometrik) dan diberi pertimbangan kelulusan jabatan.

“Seterusnya, PATI berkenaan akan melalui pemeriksaan Fomema dan perlu menyelesaikan bayaran fi rekalibrasi, visa, PLKS, pemprosesan dan levi sebelum diberikan kad PLKS,” katanya.

Dalam pada itu, bagi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing pula, Khairul Dzaimee berkata, program itu sudah bermula semalam dan buat masa ini, tiada data terkini diperoleh mengenai jumlah majikan yang memohon pekerja asing.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dilaporkan berkata, pelan itu hanya membabitkan lima sektor atau subsektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.