Pemandu lori ditahan bersama 4,000 liter diesel seleweng - Utusan Malaysia

Pemandu lori ditahan bersama 4,000 liter diesel seleweng

PEGAWAI KPDN Pulau Pinang memeriksa sebuah tangki khas yang ditempatkan di bahagian belakang sebuah lori dalam serbuan di sebuah stesen minyak berhampiran Jalan Lebuh Raya Butterworth-Kulim, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu lori ditahan bersama kira-kira 4,000 liter diesel bersubsidi yang dipercayai diseleweng dalam serbuan oleh pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, di sini semalam.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan kira-kira pukul 4 petang di sebuah stesen minyak di Jalan Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) oleh lima orang pegawai penguat kuasa itu dibuat susulan pemantauan serta pemeriksaan harian yang dijalankan sebelum ini.

Terdahulu, ujar beliau, pihaknya menjejaki sebuah lori berwarna putih seberat lapan tan tanpa muatan yang kelihatan mencurigakan.

Menurutnya, ketika ditahan, pemandu warga tempatan yang berusia 50-an didapati sedang mengisi minyak diesel.

“Siasatan lanjut mendapati, lori jenis Hino 500 itu mempunyai satu unit tangki besi khas yang berkapasiti 12,000 liter di bahagian belakangnya yang digunakan untuk mengisi serta mengumpul minyak diesel dari stesen-stesen minyak.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan dan sitaan iaitu lori, diesel yang diseleweng, tangki besi, pam motor dan set hos serta satu unit telefon bimbit ialah sebanyak RM56,500,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, tambah beliau, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun
atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, katanya, bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Jegan mengingatkan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi yang mana mereka boleh dikenakan tindakan tegas jika didapati bersalah.

“KPDN Pulau Pinang juga amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” katanya.

Tambah beliau, aduan boleh disalurkan menerusi pelbagai kaedah termasuk melalui portal e-aduan KPDN, aplikasi Whatsapp di nombor 019-279 4317 atau datang sendiri ke mana-mana pejabat atau cawangan KPDN terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya