Pekan Warisan Bandar Diraja Arau bakal digazetkan sebagai tapak warisan sejarah - Utusan Malaysia

Pekan Warisan Bandar Diraja Arau bakal digazetkan sebagai tapak warisan sejarah

MOHD. Shukri Ramli mengadakan lawatan ke Rumah Warisan Arau dan Projek Pekan Warisan Bandar Diraja Arau di Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pekan Warisan Bandar Diraja Arau yang berusia lebih 100 tahun bakal digazetkan sebagai tapak warisan sejarah seterusnya berpontensi menjadi salah satu produk pelancongan baharu di Perlis.

Terdapat beberapa lokasi menarik di sini yang boleh menarik kehadiran pelancong ke Arau antaranya seperti Masjid Negeri, Istana Arau, Pekan Lama Arau, Nat Pokok Getah dan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Arau dan Rumah Warisan Pekan Diraja Arau.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kawasan itu sememangnya sangat berpotensi untuk dibangunkan memandangkan ia merupakan sebuah bandar diraja dan amat bersejarah buat penduduk di negeri ini.

“Kerajaan negeri Perlis sememangnya tidak mempunyai masalah bagi memberi sokongan dalam memastikan kawasan ini dapat digazetkan sebagai tapak warisan sejarah dan menarik lebih ramai pelancong ke sini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Rumah Warisan Arau dan Projek Pekan Warisan Bandar Diraja Arau di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat negeri, Megat Hashirat Hassan dan Pengarah Urusan Ummul Travel & Tour Sdn Bhd, Rizwan Ahmad Badarudin.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga sedang memikirkan kaedah bersesuaian bagi menarik pelabur-pelabur luar datang ke negeri ini membantu mencari kesesuaian produk-produk di sini.

“Kita juga mungkin boleh menggalakkan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) untuk mengeluarkan produk-produk beridentitikan Perlis seperti makanan atau cenderahati yang boleh dibeli pelancong luar.

“Kerajaan negeri sentiasa memikirkan langkah bersesuaian yang boleh membantu meningkatkan produk pelancongan Perlis,” katanya.

Sementara itu, Rizwan berkata, tanah di sekitar kawasan Pekan Warisan Bandar Diraja Arau itu pada asalnya merupakan milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sejak tahun 1920 dan kemudiannya dipajakkan kepada Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Katanya, pada tahun 2012, tapak kawasan itu telah dikosongkan dan pihaknya mengambil peluang menyewa tanah berkeluasan 1.42 hektar itu untuk membangunkan Galeri Rumah Warisan Arau, kedai-kedai warisan dan hub produk-produk tempatan.

“Dalam masa sama, kira-kira dua bulan lagi, kami akan melancarkan tapak ini untuk dijadikan sebagai Pekan Warisan Bandar Diraja Arau dengan dorongan daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya