PFA nafi tiada perancangan, telah kemuka anggaran perbelanjaan - Utusan Malaysia

PFA nafi tiada perancangan, telah kemuka anggaran perbelanjaan

KERATAN akhbar Utusan Malaysia 28 Disember.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menafikan pihaknya tidak melakukan sebarang perancangan bagi pembangunan sukan bola sepak khususnya di peringkat akar umbi.

Perincian perbelanjaan bagi pelaksanaan perancangan berkenaan juga telah dikemukakan kepada Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Muhammad Azmir Azizan menerusi surat bertarikh 5 Disember 2022.

Presiden PFA, Zamri Ibrahim berkata, berdasarkan perancangan berkenaan, persatuan memerlukan peruntukan sebanyak RM950,000 pada ketika itu bagi perbelanjaan pembangunan bola sepak di Perlis.

“Perbelanjaan ini adalah meliputi pengurusan operasi persatuan (RM80,000), pengurusan Liga Tempatan (RM200,000), pengurusan Pembangunan Kejurulatihan (RM50,000), pengurusan Pembangunan Pengadil (RM50,000), pengurusan Pembangunan Bola Sepak Wanita (RM50,000).

“Antara lain pengurusan Pembangunan Bola Sepak Pantai (RM50,000), pengurusan Pembangunan Bola Akar Umbi Perlis FDP – Akademi Star Lion (RM220,000), pengurusan Futsal (RM100,000), pengurusan Program Tanggungjawab Sosial Korporat PFA (RM50,000) dan Klinik Bola Sepak setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis (RM100,000).

“Jadi kalau nak kata PFA tiada persediaan itu tak benar kerana kita sebelum ini telah kemukakan perancangan perbelanjaan ini kepada Menteri Besar dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan harapan PFA bagi mendapatkan sokongan kewangan daripada kerajaan negeri untuk membantu program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dengan penyediaan peruntukan sekurang-kurangnya RM1 juta setahun.

Bagaimapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak meminta PFA mengemukakan perancangan dan hala tuju secara menyeluruh bagi membolehkan kerajaan negeri melihat keperluan bantuan yang dapat disalurkan buat pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

Kata Wan Zikri, persatuan tersebut juga tidak menunjukkan inisiatif secara serius bagi menyelesaikan isu-isu dihadapi khususnya melibatkan tunggakan gaji pemain Perlis United FC (PUFC).

Mengulas mengenai perkara itu, Zamri berkata, PFA sebelum ini telah mengambil langkah membantu PUFC antaranya dengan mendapatkan surat pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam usaha mencari dana buat pasukan berkenaan.

“Kita turut mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar sebelum ini dan mencadangkan untuk menggunakan cukai yang perlu dibayar oleh anak-anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) bagi menjelaskan gaji dan kos PUFC malah beliau turut bersetuju pada ketika itu.

“Selain itu, bekas Exco sukan sebelum ini juga telah mengaturkan agar PUFC mendapat pinjaman sebanyak RM100,000 daripada Menteri Besar Incorporated (MBI).

“Masa PUFC hendak tarik dari daripada Liga M3, kita memang tidak ada masalah tunggakan hutang, bila kerajaan negeri minta teruskan, itu yang sangkut,” katanya.

Tambahnya, PFA berharap agar isu itu dapat diselesaikan mengikut perancangan awal iaitu dengan menggunakan bayaran pelepasan cukai anak-anak syarikat PKENPs yang tidak akan membebankan kerajaan negeri.

“Kos jumlah semua yang adalah diperlukan PUFC adalah sebanyak RM500,000 meliputi gaji sebanyak RM200,000, hutang MBI RM100,000 dan kos-kos lain.

“PUFC sebenarnya pernah mengeluarkan surat untuk menarik diri dari Liga M3 pada 30 Ogos 2023 bagi menggelakkan isu tunggakan gaji ini namun kerajaan negeri tidak bersetuju pada ketika itu dan mahukan pasukan meneruskan saingan berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya