Pekan Lama Arau bertukar ‘meriah’ saksikan aksi Malaysia Thailand - Utusan Malaysia

Pekan Lama Arau bertukar ‘meriah’ saksikan aksi Malaysia Thailand

PEKAN Lama Arau meriah apabila penyokong-penyokong Harimau Malaya berkumpul menonton perlawanan antara Malaysia dan Thailand melalui skrin besar di Arau, Perlis malam tadi-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Suasana malam yang sunyi di Pekan Lama Arau bertukar meriah apabila orang ramai berkumpul menyaksikan aksi separuh akhir pertama Piala AFF antara Malaysia dan Thailand melalui skrin besar di sini malam tadi.

Tayangan tersebut juga merupakan simbolik kepada pengoperasian semula Arau Street Market atau pasar larut malam di kawasan berkenaan pada setiap Jumaat hingga Ahad.

Menariknya, kemudahan skrin besar yang dipancarkan menerusi projektor itu turut diubah suai dengan digantung pada sebuah van model Volkswagen Kombi bagi memudahkan orang ramai menyaksikan perlawanan tersebut.

Salah seorang peniaga di Arau Street Market, Tengku Zaiudean Tengku Mohd Yusoff, 34, berkata, pasar tersebut yang memasarkan pelbagai barangan terpakai sebelum ini terpaksa menghentikan sementara operasi sejak tahun 2020 lalu apabila negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bersempena pembukaan semula pasar ini, kami membuat simbolik tayangan skrin gergasi ini bagi menarik pengunjung untuk datang sambil memberikan sokongan kepada pasukan Harimau Malaya.

“Walaupun baru beroperasi semula, sambutan yang diterima amat baik daripada kalangan pengunjung dan peniaga,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zaiudean berkata, buat masa ini, terdapat lebih 10 peniaga jalanan telah turut sama beroperasi di pasar itu bagi menjual barangan masing-masing.

Katanya, barangan terpakai yang dijual di pasar itu terdiri daripada pakaian, kasut, topi dan pelbagai lagi.

“Pasar ini beroperasi pada setiap hujung minggu iaitu hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 6 petang sehingga 12 tengah malam,” katanya.

Tambahnya, mana-mana peniaga barangan terpakai yang berminat untuk berniaga dialu-alukan untuk turut sama beroperasi pasar itu selepas ini.

“Kami utamakan peniaga jalanan yang menjual barang terpakai namun jika ada pengusaha produk lain yang ingin turut sama kami, mengalu-alukan penglibatan mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya