KANGAR: Pegawai dalam kategori pengurusan dan profesional menerusi lantikan Kerajaan Persekutuan perlu dikekalkan berkhidmat di Perlis sehingga sesuatu perancangan atau projek selesai dilaksanakan.
Isu pegawai dalam kategori tersebut yang sering bersilih ganti disebabkan kenaikan pangkat dan kemajuan kerjaya telah membantutkan perancangan serta perlaksanaan projek yang dirancang.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, berikutan itu, pihaknya mencadangkan agar pegawai-pegawai yang komited dalam melaksanakan dasar ditetapkan oleh kerajaan negeri dapat diberikan kenaikan pangkat dan dikekalkan di sini sehingga sesebuah projek atau program itu selesai.
“Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail juga mengambil perhatian terhadap pertukaran pegawai yang kerap ini dan kerajaan negeri berharap agar perkara ini mendapat pertimbangan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amanat selama kira-kira 30 minit kepada 1,200 orang penjawat awam di Perlis.
Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri amat memerlukan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan Perlis masih perlu melaksanakan projek-projek pembangunan dalam meningkatkan sosioekonomi penduduk di sini.
“Kerajaan negeri ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas peruntukan-peruntukan yang telah disalurkan ke Perlis bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang lalu.
“Banyak projek telah berjaya disiapkan dan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini telah mewujudkan satu kitaran ekonomi yang baik buat penduduk Perlis.
Katanya, langkah itu bukan sahaja membuka peluang pekerjaan malah turut membawa limpahan ekonomi kepada kawasan sekitar.
“Suka saya nyatakan Perlis merupakan negeri yang paling sedikit menggunakan khidmat pekerja asing di dalam projek pembangunan.
“Oleh itu kita dapat memastikan setiap sen yang dibelanjakan oleh kerajaan dapat dinikmati sebanyaknya oleh penduduk tempatan,” katanya. – UTUSAN