Pegawai kanan Imigresen KLIA2 bebas tuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Pegawai kanan Imigresen KLIA2 bebas tuduhan rasuah

Imigresen KLIA2
MOHD. Faizzan Sani meninggalkan Mahkamah Sesyen selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah berjumlah RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen pada peringkat akhir prosiding, hari ini.

Mohd. Faizzan Sani, 35, yang bertugas sebagai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dibebaskan selepas Hakim Rozilah Salleh mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan munasabah.

“Pasport dan wang jaminan dikembalikan, manakala dokumen serta eksibit dipulangkan selepas 14 hari jika tiada rayuan,” katanya. 

Mohd Faizzan dituduh menerima suapan sebanyak RM1,000 daripada tiga pembantu Imigresen yang bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warga asing daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di aras satu dan dua bahagian kawalan dan keselamatan KLIA2 antara November 2019 hingga bulan sama 2020.

Pendakwaan mengikut Seksyen 25 (1) dan (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd Faizzan diwakili peguam, Ahmad Ishrakh Saad dan Fadzil Noor Alias, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras.

Sementara itu, Mohd Faizzan ketika ditemui menzahirkan kesyukuran dan meluahkan rasa lega atas keputusan mahkamah yang memihak kepada dirinya.

“Pada April tahun lalu, saya diarahkan bela diri. Perkara itu mengejutkan saya kerana menjangka akan lepas dan bebas daripada pertuduhan.

“Namun, ia memberi peluang kepada saya untuk mendapatkan dokumen tambahan membabitkan jadual tugas dan kedatangan pekerja. Di situ ada keraguan terhadap pertuduhan saya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya