Pasukan pemantauan khas projek di Cameron Highlands

Pasukan pemantauan khas projek di Cameron Highlands

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mencadangkan penubuhan sebuah pasukan pemantauan khas pelbagai agensi diketuai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala di lapangan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penubuhan pasukan khas ini dijangka dapat memastikan sebarang projek yang tertakluk kepada keperluan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) mendapat kelulusan laporan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlebih dahulu sebelum diluluskan.

Selain itu katanya, ia juga memerlukan penilaian bahaya dan risiko tanah runtuh oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebelum pelaksanaan oleh agensi-agensi berkenaan.

“Untuk makluman, siasatan JAS terhadap projek-projek pembangunan di kawasan Cameron Highlands mendapati terdapat 16 projek yang tertakluk kepada Perintah EIA 2015 dan telah mendapat kelulusan.

“Projek-projek ini kini dalam pemantauan berkala JAS iaitu sepuluh projek belum mula, satu telah beroperasi dan masih ada kerja pembinaan serta lima lagi dalam pelaksanaan kerja tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, JAS juga telah menerbitkan kaedah mengenal pasti remedi secara lebih berkesan melalui Penilaian Impak Dari Udara (Aerial Impact Assessment – AIA) dan Pelan Tindakan Pembaikpulihan Segera (Immediate Remedial Action Plan – IRAP).

Katanya, Pengarah Penyelarasan dan Operasi JMG akan mengetuai pasukan pemantau cerun dibantu oleh JMG Pahang bagi memantau keadaan tapak semasa untuk menilai tahap risiko kepada berlakunya bencana tanah runtuh susulan aktiviti kerja tanah pertanian berhampiran, termasuk kerja-kerja mitigasi dikawasan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kementerian segera bertindak melaksanakan titah Yang DiPertuan Agong berhubung isu pembangunan di cerun Cameron Highlands.

“Untuk makluman, pajakan kawasan pertanian seluas 6.475 hektar berkenaan telah diberikan kepada pemaju pada 20 Ogos 2021.

“Pihak JMG Pahang telah menerima satu surat permohonan ulasan penilaian tapak daripada Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) selepas berlakunya kejadian pertama banjir lumpur dilaporkan di Perumahan Pekan Kg. Raja yang melibatkan sebuah rumah pada 30 Ogos 2022. Ini diikuti oleh dua lagi kejadian tanah runtuh di kawasan yang sama pada 17 November dan 20 Disember 2022,” ujarnya.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kejadian banjir lumpur disyaki berpunca daripada aktiviti kerja tanah pertanian berhampiran kawasan tersebut.

Ini kerana katanya, berdasarkan rekod JMG, kawasan tersebut diberikan penarafan bahaya tanah runtuh tahap sederhana – tinggi.

“Ini diburukkan lagi dengan kerja-kerja tanah yang tidak mengikut amalan terbaik dan menyumbang kepada kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur kepada kawasan tadahan di bawah di mana terdapat penempatan penduduk.

“JAS juga telah menjalankan siasatan terhadap projek yang menyebabkan banjir lumpur di kawasan tersebut pada 20 Disember lalu. Siasatan tersebut mendapati bahawa pemaju projek tidak menjalankan EIA dan tidak memohon kelulusan Laporan EIA, sedangkan ia perlu mendapat kelulusan Laporan EIA sebelum sebarang kerja dilaksanakan.

“Kelulusan laporan EIA merupakan input penting dalam proses perancangan dan keputusan kelulusan sesuatu projek oleh pihak berkuasa melulus. Di dalam hal ini, projek telah diluluskan tanpa EIA dan penglibatan JAS,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, JAS telah mengambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 iaitu mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 untuk memberhentikan kerja-kerja di tapak sehingga kelulusan Laporan EIA diperoleh.

Selain itu, pemaju juga telah diarahkan untuk melaksanakan langkah-langkah remedi mengelakkan banjir lumpur dengan kertas siasatan bagi kes ini juga sedang disiapkan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya