Pasangan bermadu sepakat jaga suami sakit

Pasangan bermadu sepakat jaga suami sakit

MAAROF Noordin bersama Effa Rizam Abd. Ghaffar (kiri) dan Noraini Ishak (kanan) yang sepakat menjaganya setelah disahkan menghidap penyakit kencing manis hingga kaki kirinya terpaksa dipotong. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pasangan bermadu dari Kampung Cherating Lama di sini bukan sahaja hidup bahagia bersama malah sepakat menjaga suami mereka, Maarof Noordin, 58, yang menghidap kencing manis tahap empat sejak dua tahun lalu.

Maarof berkata, kesepakatan adalah kunci pengorbanan kedua-dua isterinya iaitu Effa Rizam Abd. Ghaffar dan Noraini Ishak yang masing-masing berusia 42 tahun kepadanya.

Katanya, keharmonian dalam rumah tangga dan kesepakatan dua isterinya membuatkan dia hiba malah terharu setiap kali memikirkannya.

“Dua isteri saya banyak berkorban dan keluar mencari rezeki menggantikan saya untuk kami sekeluarga. Sedih bila lihat dia keluar rumah seawal pagi dan pulang bila hampir malam.

“Isteri pertama sepenuh masa menjaga saya di rumah yang tidak dapat menguruskan diri sendiri dan bersyukur sangat kerana kedua-dua mereka memahami keadaan kesihatan saya ketika ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Noraini adalah isteri pertama dikahwini Maarof pada 2007 manakala Effa Rizam pula genap lima tahun menjadi isterinya pada Mei ini.

Ketika menceritakan kembali detik disahkan penyakit itu, Maarof berkata, dia dikesan menghidap penyakit kencing manis pada 2021.

Mengulas lanjut, katanya, pada permulaan bahagian kaki kirinya hanya membengkak setelah digigit semut dan kembali pulih tetapi menjadi menjadi agak teruk selepas bahagian sama digigit nyamuk.

“Isteri membawa saya ke hospital memandangkan keadaan semakin membimbangkan dan hasil pemeriksaan lanjut dijalankan saya didapati menghidap penyakit kencing manis kronik.

“Keadaan mula berubah apabila doktor menasihatkan saya untuk memotong kaki bagi mengelak masalah kencing manis merebak ke bahagian organ lain, sekitar Oktober tahun lalu,” katanya.

Maarof sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) secara sambilan bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga, namun sudah tidak mampu bekerja selepas menjalani pembedahan tersebut.

Effa kini bekerja sebagai tukang kebun di sebuah syarikat di Gebeng dan menjadi anggota Rela sambilan untuk menambah sumber pendapatan keluarga mereka.

Katanya, pengorbanannya itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan Noraini dan walaupun hidup berkongsi kasih tetapi mereka mampu mencipta kebahagiaan dengan cara menjaga suami.

“Ini pengorbanan kecil saya sebagai isteri, macam isteri pertama, dia tolong uruskan suami ketika saya bekerja dan apabila saya balik, saya akan bantu dia ambil alih tugas menjaga suami.

“Adakalanya bila malam kami bergilir menjaga suami. Sama ada berikan isteri pertama berehat dahulu atau sebaliknya memandangkan suami akan bangun sama ada untuk ke tandas atau makan ubat.

“Namun, saya akui sebagai pencari nafkah adakalanya pendapatan diperoleh tidak mencukupi memandangkan kos ulang-alik ke hospital dan klinik, termasuk peralatan bagi merawat suami mencecah RM600 hingga RM700 sebulan sedangkan gaji hanya sekitar RM1,500 dan perlu membayar sewa rumah pula sebanyak RM400 sebulan jadi susah juga kehidupan kami ini,” katanya.

Sementara itu, penyelaras sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Amal Team Kuantan, Jamilah Salleh yang melawat pasangan berkenaan berkata, nasib menimpa keluarga Maarof sudah dirujuk kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) untuk tindakan lanjut.

“Buat masa ini, Amal Team sudah memberikan bantuan awal seperti pek makanan, katil khas dan kerusi roda kepada keluarga Maarof. Kita juga sedang berurusan dengan Muip untuk membantu menyelesaikan beberapa masalah seperti tunggakan sewa rumah, bil elektrik dan air yang mereka hadapi ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Effa Rizam di talian 0168006507 untuk maklumat lanjut atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Maarof bernombor 1111141000296605. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN