Pantai di Pangkor diancam hakisan teruk

Pantai di Pangkor diancam hakisan teruk

GARISAN pantai yang semakin hampir dengan struktur gerai yang dibina di tepi Pantai Teluk Nipah akibat hakisan disebabkan ombak di Pulau Pangkor, Perak. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kawasan pesisir pantai Coral dan pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor di sini semakin mengecil akibat terhakis kira-kira dua hingga tiga meter setahun berikutan ombak besar.

Keadaan itu ditemukan menerusi kajian dilakukan oleh Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Ketua Projek Mewujudkan Persekitaran Pantai Yang Lestari Teluk Nipah UTP, Dr. Teh Hee Min berkata, sehubungan itu, langkah pengawalan hakisan di pantai itu perlu dilakukan segera.

Katanya, kajian mendapati hakisan pesisir pantai di kedua-dua tempat itu akibat daripada ombak yang besar sekali gus menyebabkan infrastruktur terutama gerai tepi pantai di situ runtuh.

Katanya, hakisan pesisir pantai Teluk Nipah berlaku sejak 1990, cuma kesannya tidak ketara pada masa itu tetapi kini garis pesisir pantai sudah sampai ke bangunan gerai perniagaan.

“Sewaktu pembinaan gerai-gerai suatu ketika dahulu, mungkin pembinaannya mematuhi jarak yang ditetapkan tetapi akibat perubahan iklim, garis pantai semakin dekat ke daratan.

“Keadaan itu juga menyebabkan semakin lama ia semakin hampir dengan pembangunan terdekat,” katanya di sini semalam.

Hee Min berkata, objektif Projek Mewujudkan Persekitaran Pantai Yang Lestari Teluk Nipah yang dilaksanakan UTP itu ialah untuk pemulihan persekitaran pantai, perkongsian dengan pihak berkepentingan dan pendidikan melalui program kesedaran.

“Projek jangka masa panjang ini kelak akan memastikan masalah hakisan pantai yang serius di kawasan terbabit dapat diatasi kerana menjadi keutamaan kepada kerajaan untuk pastikan kawasan penempatan, pelancongan, akuakultur, pertanian dan kawasan hutan pesisir pantai terus terpulihara,” katanya.

Sementara itu, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) Daerah Manjung, Ir. Mohd. Shamimi Mohd. Tahir berkata, terdapat empat kawasan di bawah kategori satu yang mana garis pesisir berada dalam keadaan hakisan dan tempat kemudahan atau infrastruktur berasaskan pesisir berada dalam bahaya berlaku keruntuhan atau kerosakan langsung.

Antaranya ialah Teluk Nipah, Teluk Dalam, Teluk Gedung dan Tanjung Kelawai yang menempatkan kira-kira 300 rumah nelayan.

“Antara langkah proaktif dalam menjaga persisiran pantai daripada terhakis adalah dengan membina 50 meter ‘rock revetment’.

“Sebuah pembangunan yang dijadikan bazar kepada para penjaja juga sedang giat dijalankan bagi menempatkan mereka yang berniaga di sekitar bahu jalan ke tempat yang lebih selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.