ZAITON Sameon adalah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Anak kelahiran Negeri Sembilan ini pernah berada pada kemuncak kerjayanya sekitar penghujung 80-an dan merupakan antara selebriti tanah air yang cukup terkenal pada era tersebut.
Penyanyi ini pernah mendapat jolokan Donna Summer Malaysia dan perkara itu diakui oleh penggiat industri muzik tempatan, Datuk Aziz Bakar.
Zaiton menerima pendedahan dalam bidang seni suara sejak di usia kanak-kanak lagi. Dalam satu wawancara yang diadakan baru-baru ini, penyanyi berusia 66 tahun ini memaklumkan sering menemani arwah bapanya membuat persembahan nyanyian di majlis-majlis perkahwinan dan acara rasmi sewaktu usia kecilnya.
“Saya sering menonton persembahan arwah ayah di majlis-majlis perkahwinan di Melaka. Antara lagu yang sering dibawakannya antaranya Ala Emak Kahwinkan Aku.
“Arwah Ayah saya bersahabat dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Saya pernah diminta menyanyi di hadapan seniman agung tersebut, membawakan lagu arwah Saloma.
“Allahyarham ketika itu memberitahu arwah ayah bahawa satu hari nanti, saya akan menjadi seorang penyanyi. Beliau seolah-olah boleh menjangkakan hala tuju masa depan saya,” katanya.
Zaiton menyertai kumpulan muzik Polis Hutan sekitar awal era 70-an dan mengasah kebolehan nyanyian dengan membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan.
Pada usia yang cukup muda, dia sudah kenal erti berdikari dan mula mencari pendapatan sendiri.
“Saya mula menyanyi di majlis-majlis perkahwinan ketika usia saya meningkat belasan tahun dengan menerima upah serendah RM10. Zaman itu, jumlah tersebut besar nilainya.
“Saya bekerja sebagai ketua kerani di sebuah bank ketika usia mencecah awal 20-an.
“Walaupun bergaji bulan, saya tetap menyanyi di hotel dan kelab malam di sekitar Kuala Lumpur untuk mendapatkan wang tambahan,” kongsinya.
MENYANYI DI HOTEL, KELAB MALAM
Meskipun bertugas sebagai ketua kerani di sebuah bank tempatan, Zaiton tidak meninggalkan bidang nyanyian yang dicintainya.
Malah, penyanyi ini pada ketika itu melakukan dua pekerjaan, menyanyi di kelab dan hotel pada sebelah malam untuk menjana pendapatan sampingan.
“Hidup waktu itu memang mencabar. Saya terpaksa korbankan waktu rehat, tolak rasa penat. Pagi bekerja di bank, malam pula menyanyi di kelab dan hotel sehingga lewat.
“Hampir setiap hari saya pulang lewat ke rumah. Esoknya pula, seawal lima pagi sudah bangun untuk pergi bekerja. Walaupun penat, tetapi saya seronok,” ceritanya.
Cerita Zaiton lagi, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya adalah ketika membuat persembahan di kelab malam yang rata-rata audiensnya merupakan orang Jepun.
“Saya banyak menyanyi di kelab Jepun antaranya Fukiko yang terletak di sekitar ibu kota.
“Saya membawakan lagu Jepun dan Inggeris yang saya pelajari dengan mendengar lagu-lagu dari Jepun dan negara Barat.
“Orang Jepun rata-ratanya pemurah, memberikan tip yang lebih banyak berbanding gaji yang saya terima sebagai kerani perbankan,” selorohnya.
DIPANDANG RENDAH KERANA KURANG CANTIK
Zaiton mencipta nama menerusi album Menaruh Harapan yang diterbitkan sekitar awal tahun 80-an.
Namanya menjadi lebih terkenal selepas lagu ciptaan komposer berbakat A. Ali itu menjuarai Anugerah Juara Lagu tahun 1987.
Bagaimanapun, sebelum mengecap kemasyhuran, Zaiton dilamar Family Group Muzikal (FGM) untuk merakamkan album sulungnya.
“Pada satu saat, FGM mengadakan majlis makan malam di hotel tempat saya bekerja.
“Mereka tertarik dengan suara saya lantas menawarkan untuk merakamkan album. Maka terhasillah album Menaruh Harapan yang diterbitkan sekitar 1987.
“Saya tinggalkan kerja perbankan dan nyanyian di kelab malam untuk mulakan kerjaya sebagai artis rakaman. Keputusan mendapat tentangan daripada adik beradik saya,” kongsinya.
Kongsi Zaiton, dia pernah kecewa kerana dipandang sebelah mata kerana tidak memiliki rupa paras yang cantik.
“Saya anggap tawaran merakamkan album pertama sebagai peluang keemasan kerana Sebelum itu, ada syarikat yang enggan mengambil saya menyanyi kerana pada mereka, saya tidak cantik.
“Syarikat-syarikat yang dahulunya menolak permohonan saya untuk menjadi artis rakaman mereka menghubungi saya semula selepas album Menaruh Harapan laris di pasaran. Bagaimanapun saya tolak tawaran kerana saya terluka dengan penolakan mereka terhadap saya sebelum ini,” katanya.
SAHABAT SEJATI SUDIRMAN ARSHAD
Allahyarham Sudirman Arshad adalah insan penting dalam hidup Zaiton Sameon. Ikatan persahabatan mereka terlalu istimewa sehingga Zaiton menganggap penyanyi ikonik itu sebagai rakan dunia akhiratnya.
“Kami berkawan rapat dan pernah menuntut di sekolah yang sama di Temerloh, Pahang.
“Allahyarham adalah seorang sahabat yang baik dan kami mula rapat selepas album pertama saya diterbitkan.
“Banyak kenangan manis bersama beliau yang tidak dapat saya lupakan lebih-lebih lagi ketika kami membuat persembahan bersama,” katanya.
Ujar Zaiton, Sudirman antara orang yang banyak memberikan semangat lebih-lebih lagi ketika beliau berdepan episod keruntuhan rumah tangga pertamanya.
“Allahyarham banyak memberi semangat lebih-lebih lagi ketika saya berdepan episod keruntuhan rumah tangga.
“Lagu Lupakan Saja dalam album kedua saya, Kabut Serangkai Mawar merupakan hasil ciptaan Allahyarham Sudirman yang didedikasikannya kepada saya,” kongsinya.
Kata Zaiton, pemergian Allahyarham Sudirman menjadi fasa yang paling menyedihkan dalam hidupnya, apatah lagi dia tidak berpeluang melihat Allahyarham buat kali terakhir kerana masih dirawat di hospital selepas mengalami kemalangan ngeri.
“Saya terkilan tidak dapat melihat Allahyarham ketika dia meninggal dunia kerana ketika itu saya masih dirawat di hospital selepas mengalami kemalangan jalan raya pada Februari 1990.
“Pemergian beliau dimaklumkan kepada saya oleh adik beradik saya. Tentunya saya sedih, kerana kami merupakan sahabat yang sangat rapat,” katanya.
DILANGGAR MOTOSIKAL SEBELUM DIREMPUH LORI
21 Februari 1992 merupakan tarikh hitam buat Zaiton Sameon apabila penyanyi kesayangan ramai ini terbabit dengan kemalangan jalan raya di Jalan Kuala Lumpur Ipoh berdekatan Batang Kali, Selangor.
Kemalangan tragis itu meragut nyawa anaknya, Azirwan Abu Bakar yang pada ketika itu berusia 13 tahun.
Turut terkorban adalah pemuzik pengiringnya, Ismail Shaari. Kemalangan tersebut telah membawa gangguan emosi kepada Zaiton lebih 10 tahun.
“Van yang kami naiki ketika itu dilanggar sebuah motosikal sebelum dirempuh sebuah lori.
“Saya hilang ingatan akibat kemalangan tersebut dan berada dalam keadaan koma untuk tempoh yang lama.
“Ia memberi kesan kepada emosi dan meninggalkan trauma kepada saya sehingga ke hari ini,” ujarnya.
FOKUS PERNIAGAAN
Selepas lebih tiga dekad, Zaiton Sameon masih berada dalam industri seni dan bersemangat untuk menghiburkan peminat meskipun keupayaannya berubah seiring perubahan usia.
Kata Zaiton, dia masih berminat untuk menyanyi dan membuat persembahan. Bagaimanapun dia akur dengan perubahan diri dan kerjaya sebagai penyanyi.
“Saya masih menyanyi, cuma tawaran membuat persembahan itu tidaklah sebanyak dahulu yang mana hampir setiap hari saya menghiburkan penonton.
“Kini saya lebih memberikan tumpuan kepada produk Rendang Nasib yang saya jual menerusi platform dalam talian. Alhamdulillah, setakat ini pendapatan hasil jualan tidak mengecewakan,” katanya.
Ditanya tentang album atau lagu baharu, Zaiton tidak dapat menjanjikan apa-apa kerana katanya perancangan ke arah itu masih tidak menampakkan arah tuju yang jelas.
“Jujur saya katakan saya sendiri teruja untuk memiliki album baru. Tetapi buat masa ini, tiada apa-apa perkembangan yang boleh saya kongsikan berkenaan perkara itu.
“Saya harap peminat masih sudi menyokong kerjaya nyanyian saya dan bersabar menantikan buah tangan terbaru dari saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zaiton sempat menitipkan pesanan kepada penyanyi baharu agar tidak bersikap sombong terhadap peminat dan menyayangi mereka dengan seikhlas hati.
“Kepada penyanyi baharu, nyanyilah dengan ikhlas dan santuni peminat anda. Jangan sombong dengan peminat kerana mereka adalah tulang belakang kepada kejayaan kita,” ujarnya.










