OPR: BNM perlu beri pemahaman - Utusan Malaysia

OPR: BNM perlu beri pemahaman

OPR BNM
AHMAD Maslan dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Akauntan Nasional 3.0 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan dilihat tidak berhasrat untuk menghalang kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dijangka dinaikkan sehingga 3.25 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada bulan ini.

Sebaliknya, BNM diseru memberi pemahaman kepada rakyat tentang kepentingan kenaikan OPR termasuknya pengaruhnya untuk mengurangkan kadar inflasi dihadapi negara serta kesan kepada kos sara hidup.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, BNM perlu berurusan dengan rakyat, bukan sahaja memberikan taklimat kepada kerajaan dan Kementerian Kewangan.

“Oleh itu saya menyarankan kepada Bank Negara agar lebih terbuka untuk berhadapan dengan masyarakat mengenai tindakan (kenaikan) OPR yang mereka ambil. Jadi rakyat tidak faham kenaikan OPR boleh menurunkan inflasi.

“OPR yang rendah boleh meningkatkan inflasi. Rakyat tidak faham, sebab itu bukan bidang mereka. Itu adalah bidang Bank Negara, jadi tugas mereka adalah memahamkan kadar OPR yang lebih tinggi akan merendahkan inflasi. Kadar OPR yang rendah akan meningkat inflasi dan menjejaskan kos sara hidup, ekonomi rakyat dan negara,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan jumlah individu bankrap boleh mencecah lebih 30,000 kes tahun ini kerana semakin ramai peminjam tidak mampu membayar ansuran bulanan jika Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan sehingga 3.25 peratus bulan ini.

Jumlah itu berdasarkan kepada jangkaan pertambahan sebanyak 10,000 lagi kes individu muflis pada tahun ini selepas 20,258 kes dicatatkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 antara 2020 hingga November 2022.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lepas memaklumkan hak dan kuasa penetapan OPR diberi pengkhususan kepada BNM seperti yang termaktub dalam peraturan dan undang-undang negara ini.

“Perubahan berhubung OPR adalah keputusan Bank Negara (Malaysia) dan bukan Kementerian Kewangan. Kalau nak bincang, saya boleh bincang. Tetapi itu adalah ‘wenang’ (hak untuk berbuat sesuatu) BNM,” katanya selepas mesyuarat Kabinet minggu lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan menjelaskan tidak semua rakyat yang mempunyai pinjaman dengan bank terjejas dengan kenaikan kadar OPR.

“Separuh daripada rakyat kadar faedah pinjamannya adalah tetap dan separuh lagi terapung. Mereka yang kadar faedahnya tetap tidak ada kaitan dengan OPR yang turun naik ini. Yang terapung tentu akan ada kesan itu.

“Jadi semua perkara hendaklah diperjelaskan (oleh BNM). Fahamkan rakyat tentang segala perkara yang berkaitan. Tidak ada sebarang keputusan lagi mengenai OPR untuk tarikh-tarikh seterusnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya