Nelayan tidak mengaku tekan penumbuk, cengkam muka isteri

Nelayan tidak mengaku tekan penumbuk, cengkam muka isteri

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku tidak bersalah mencederakan isterinya di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hanya kerana masalah kewangan, seorang suami sanggup mencengkam bahagian muka dan menekan penumbuk di mulut isterinya sehingga menyebabkan kecederaan kepada wanita berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh, Jason Pereira, 51, yang juga seorang nelayan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya berusia 48 tahun dengan cara mencengkam bahagian muka dan menekan penumbuk di mulut mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8.40 malam di sebuah rumah di Kampung Portugis, Ujong Pasir dalam daerah Melaka Tengah pada 10 Januari 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan khianat terhadap kerusi kayu sehingga patah dengan niat untuk menyebabkan kerosakan kepada harta bernilai RM50 pada waktu, tempat dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati atau mengganggu saksi dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan hanya bekerja sebagai nelayan dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN