MRT Putrajaya tingkat pengguna pengangkutan awam

MRT Putrajaya tingkat pengguna pengangkutan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembukaan penuh Mass Rapid Transit (MRT) Laluan Putrajaya pada Mac depan dijangka meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam bersepadu sebanyak 1.2 juta sehari melibatkan perkhidmatan rel dan bas terutama di kawasan Lembah Klang.

Permintaan bagi perkhidmatan itu meningkat berbanding 722,000 pengguna pada tahun ini selepas lengkapnya jajaran MRT Putrajaya itu termasuk mereka yang menggunakan perkhidmatan Rapid Rail merangkumi LRT dan Monorel.

Ketersediaan jaringan pengangkutan awam yang semakin luas ini bakal memberi limpahan ekonomi khususnya penduduk setempat walaupun negara diramal berdepan persekitaran mencabar dengan perkembangan ekonomi perlahan pada tahun depan.

Ini kerana pengguna dapat menjimat perbelanjaan harian dengan beralih kepada penggunaan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja yang dianggarkan sekitar RM5 juta hingga RM10 juta sehari jika jumlah 1.2 juta pengguna itu mampu berjimat antara RM5 ke RM10 dengan peruntukan perbelanjaan dapat dimanfaatkan untuk perkara lain sekali gus kitaran ekonomi memberi kesan positif kepada semua.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, pihaknya menjangkakan seramai dua juta penduduk Lembah Klang menerima manfaat terus khususnya selepas pembukaan MRT Laluan Putrajaya itu melibatkan jajaran laluan rel sepanjang 57.7 kilometer.

Menurut beliau, laluan merentasi dari Kwasa Damansara hingga Putrajaya dan melalui kawasan penduduk padat serta pusat tumpuan orang ramai seperti Bandar Sri Damansara, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC), Seri Kembangan dan Cyberjaya itu bukan sahaja meningkatkan nilai ekonomi, malah mampu mengatasi kesesakan jalan raya yang saban hari makin meruncing.

“Projek hartanah pesat membangun di sekitar jajaran MRT serta peningkatan nilai hartanah yang memberi pulangan lumayan kepada pemilik.

“Selain itu, pengusaha dan pemilik industri mendapat limpahan nikmat ekonomi dengan pembinaan laluan baharu ini. Sebagai contoh, untuk projek terdahulu iaitu penyambungan jajaran LRT sehingga Putra Heights, kawasan pusat beli-belah di sekitar Puchong menjadi semakin rancak selepas adanya laluan LRT yang melalui gedung-gedung perniagaan di situ.

“Ia tentunya memberi akses perjalanan lebih mudah dan selesa kepada pengunjung untuk membeli-belah,” katanya di sini semalam.

Mohd. Azharuddin berkata, pengusaha industri kecil juga memperoleh manfaat daripada projek MRT ini yang mana mereka dapat membuka peniagaan bagi menambah sumber pendapatan melalui jualan makanan sekitar stesen MRT atau LRT.

“Ia bukan hanya memudahkan pengguna, malah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. Untuk operasi MRT Laluan Putrajaya ini, seramai 1,100 kakitangan dilantik untuk tujuan operasi dan penyelenggaraan dengan 40 peratus daripadanya merupakan pekerja berkemahiran tinggi,” katanya.

Dengan lebih banyak pertambahan tren dan jajaran di masa akan datang seperti LRT Laluan Shah Alam dan MRT Laluan Lingkaran (Circle Line), ia dapat memberi lebih kesalinghubungan kepada warga kota untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan lebih mudah menggunakan pengangkutan awam.

Pembukaan sepenuhnya perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya, bilangan stesen rel di bawah kendalian Rapid Rail akan bertambah kepada 147 stesen, dengan kekerapan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya adalah 4 minit pada waktu puncak pagi dan petang.

Untuk mengoptimakan lagi kesalinghubungan perkhidmatan, katanya, perkhidmatan bas perantara juga disediakan dengan mensasarkan sebanyak 116 buah bas perantara bagi MRT Laluan Putrajaya.

Sementara itu, mengulas mengenai impak ekonomi dengan ketersediaan jaringan pengangkutan lebih meluas, penganalisis ekonomi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nur Adli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, kawasan itu pastinya menjadi tarikan orang ramai sekali gus memberi keuntungan kepada peniaga dan nilai hartanah di situ akan naik lebih tinggi dari biasa iaitu anggaran melebihi 10 peratus.

“Setiap tahun biasanya nilai hartanah naik 7 peratus, kalau ada stesen pengangkutan awam, maka peningkatan harga hartanah berlaku sekali gus meningkatkan peluang perniagaan dan kawasan sekitar boleh berkembang dari segi ekonomi untuk penduduk setempat.

“Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan mendapat pulangan dari segi sewaan dan lesen setiap tahun termasuk cukai sekali gus memberikan pulangan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau memberitahu, pengguna dapat menjimat perbelanjaan harian dengan beralih kepada penggunaan pengangkutan awam sekitar RM5 juta hingga RM10 juta sehari jika jumlah 1.2 juta pengguna itu mampu berjimat antara RM5 ke RM10 bagi kos pengangkutan. – UTUSAN

INFO
– Jajaran laluan rel: Sepanjang 57.7 km (13.5 km bawah tanah)
– 36 buah stesen (11 stesen bawah tanah)
– 10 stesen pertukaran dan sambungan sepanjang jajaran
– Merentasi Kwasa Damansara – Putrajaya melalui kawasan Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC), Kuchai Lama, Seri Kembangan dan Cyberjaya.
– Kekerapan tren 4 minit waktu puncak
– 116 bas perantara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN