Mohd. Shafie mahu status wilayah Sabah, Sarawak diwartakan

Mohd. Shafie mahu status wilayah Sabah, Sarawak diwartakan

MOHD. Shafie Apdal mengagihkan angpau kepada orang ramai di Tanjung Aru, Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Status wilayah Sabah dan Sarawak perlu dikembalikan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Itu pandangan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai usaha mewartakan pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak kepada wilayah.

“Kita telah pun meluluskan pindaan Perkara 1(2) di Dewan Rakyat. Bukan tiada keperluan untuk kembalikan status wilayah, itu memang salah satu daripada kelainan yang membolehkan Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang mempunyai bidang kuasa tertentu.

“Itu memang antara perjanjian yang telah termaktub dan sejak di peringkat awal semasa MA63 dimeterai, ia membabitkan wilayah Persekutuan Tanah Melayu dan juga Borneo Utara ketika pemerintahan British di Borneo,” katanya semasa mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa status Sabah dan Sarawak perlu kekal sebagai negeri.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Tahun Baharu Cina Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong hari ini.

Wan Junaidi berkata, perubahan status itu dikhuatiri mengundang masalah lebih besar kerana ia melibatkan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, perubahan status itu akan membolehkan Sabah dan Sarawak mempunyai beberapa bidang kuasa yang berbeza berbanding negeri-negeri lain.

Pada masa ini, Sabah dan Sarawak mempunyai bidang kuasa Imigresen dan ia tidak dimiliki oleh mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia.

Dalam bidang perundangan pula, kedua-dua wilayah ini turut mempunyai kuasa untuk menyekat peguam-peguam Semenanjung Malaysia dari mengamalkan khidmat guaman mereka di Sabah.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sehingga kini, peguam-peguam Semenanjung tidak boleh memberi dan mengamalkan khidmat guaman mereka di negeri ini.

“Saya yakin apa yang penting adalah meletakkan kembali status wilayah itu pada landasan sepatutnya.

“Tapi bukan itu sahaja, tuntutan-tuntutan lain seperti yang diumumkan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga menunjukkan kelainan yang diberi kepada Sabah dan Sarawak seperti pemberian geran khas,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sarawak akan menerima geran pemberian khas berjumlah lebih RM300 juta pada tahun ini, iaitu peningkatan 19 kali ganda berbanding geran RM16 juta yang diterima sebelum ini.

Anwar memberikan kelulusan geran yang dituntut menerusi formula geran pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya