Melaka wujudkan semula Majlis Keselamatan Jalan Raya

Melaka wujudkan semula Majlis Keselamatan Jalan Raya

SULAIMAN Md. Ali memakaikan topi keledar kepada seorang penunggang motosikal selepas melancarkan MKJR Melaka sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Tahun Baru Cina di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka diwujudkan semula selepas hampir enam tahun dimansuhkan sejak Mei 2018, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Beliau berkata, agensi berkenaan dihidupkan kembali bertujuan untuk membantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya yang semakin meningkat di Melaka.

Katanya, sebagai negeri pelancongan utama adalah penting kadar kemalangan dapat dikurangkan, yang mana peranan MKJR diperlukan seperti sebelum dimansuhkan pada 2018.

Jelasnya, agensi itu juga turut berperanan memberi kesedaran dan pendedahan kepada pengguna mengenai aspek keselamatan jalan raya.

“Sewaktu saya mengambil alih jawatan Ketua Menteri, saya melihat bagaimana fungsi MKJR boleh mengadakan aktiviti memastikan laluan trafik berjalan lancar, mengenal pasti kawasan yang sering berlaku kemalangan jalan raya.

“Namun, saya dimaklumkan MKJR telah dimansuhkan sebelum ini dan saya segera memohon untuk mewujudkan semula agensi ini semula.

“Kalau benda baik menjurus kepada keselamatan jalan raya, eloklah ia diwujudkan semula dan saya tidak pasti sebab apa agensi ini dimansuhkan kerana itu adalah keputusan kerajaan negeri terdahulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan MKJR Melaka sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Tahun Baru Cina di Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, bagi memperkukuhkan MKJR, kerajaan negeri telah melantik Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman sebagai pengerusi yang baharu.

Tambahnya, sejak berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kadar kemalangan di Melaka menunjukkan peningkatan lantas sedikit menjejaskan imej sebagai negeri pelancongan.

“Antara agensi penguat kuasa yang terlibat selain JPJ ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan badan bukan kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya