Medan muhasabah jadi kempen pemilihan - Utusan Malaysia

Medan muhasabah jadi kempen pemilihan

PERSIDANGAN Perhimpunan Agung UMNO di WTCKL. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2022 yang sepatutnya menjadi medan muhasabah kekalahan parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bertukar kepada kempen pemilihan kepimpinan yang akan diadakan pada Mei ini.

Sepanjang dua hari pertama perhimpunan, desakan mengadakan pemilihan dan tidak kurangnya ada juga mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan menghangatkan perjalanan persidangan itu yang menghimpunkan lebih 5,000 perwakilan dari seluruh negara.

Cerita-cerita tersebut bukan sahaja berlegar-legar dalam kalangan akar umbi yang memenuhi ruang legar Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, sebaliknya membabitkan jurucakap yang dipanggil berbahas ucapan sayap Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri.

‘Jawatan Presiden dan timbalan tidak perlu dipertandingkan’, ‘Kami desak pertandingan semua jawatan’ itulah antara cakap-cakap perwakilan.

Ironinya orang parti lain iaitu Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional juga kencang bersembang mengenai pemilihan parti sedangkan UMNO hanyalah parti kecil dalam keputusan PRU15 yang menyaksikan kekalahan teruk dan tinggal 26 kerusi Parlimen sahaja, mungkin mereka merasakan perubahan pemimpin boleh mempengaruhi kedudukan kerajaan.

Tidak kurangnya ada pemimpin yang kalah pemilihan lalu turun berkempen untuk bertemu perwakilan walaupun bukanlah menjadi kesalahan berbuat demikian. Ditambah pula bertebaran ‘cai’ atau senarai nama yang dijangka mengisi gelandang pertandingan kepimpinan UMNO sejak Isnin lalu.

Itulah situasi yang terjadi sepanjang minggu ini lebih-lebih melibatkan penyokong UMNO, sebaliknya mereka hendaklah menggunakan Perhimpunan Agung UMNO sebagai platform untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kekalahan untuk kali kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Tidak dinafikan ada juga perwakilan juga menyentuh faktor kekalahan tersebut, namun ia tenggelam dek kempen ‘tidak rasmi’ pemimpin UMNO yang dikatakan menyatakan hajat secara awal untuk bertanding dalam pemilihan parti akan datang.

Sebaliknya ia tidak serius, hanya cakap-cakap atas angin khususnya ada perwakilan mengatakan parti lawan terlalu kuat dalam media sosial sehingga berjaya mempengaruhi minda rakyat untuk menyokong mereka sedangkan punca kekalahan UMNO disebabkan kelemahan jentera sendiri.

Tetapi ini tidak dibincangkan secara terbuka walaupun pahit untuk ditelan, hanya menunding jari antara satu sama lain dan tidak mengakui kesilapan sedangkan ia berpunca daripada diri sendiri.

Mungkin ahli UMNO merasakan pemilihan parti merupakan jalan terbaik untuk memperbaiki parti, jika jalan mereka ini pilih, terpulanglah kepada pendirian masing-masing bagi menentukan hala tuju parti mendepani cabaran politik mendatang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN