Mangsa banjir di Kelantan dapat bantuan perabot - Utusan Malaysia

Mangsa banjir di Kelantan dapat bantuan perabot

AB Kadir Jailani Baharuddin (kanan) menyampaikan sumbangan tilam nipis kepada mangsa banjir di masjid Kampung Lubok Gong Rantau Panjang, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Pertubuhan Memperkasa Ummah Malaysia memperuntukkan sumbangan sebanyak RM200,000 untuk membeli perabot bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Agihan sumbangan dengan kerjasama syarikat perabot, Perniagaan Hikmat Ikhtisas bersama laman web pembelajaran agama Islam, bedaie.com (BeDaie) itu melibatkan kelengkapan perabot seperti tilam, bantal, almari, kabinet dan meja kopi.

Pengasas Perniagaan Hikmat Ikhtisas, Ab. Kadir Jailani Baharuddin berkata, agihan pelbagai jenis perabot itu merupakan salah satu usaha pihaknya untuk meringankan beban mangsa banjir selepas kebanyakan daripada mereka kehilangan harta benda.

Menurutnya, sumbangan fasa pertama diagihkan kepada penduduk di Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang di sini melibatkan seramai 150 orang.

“Banjir yang berlaku menyebabkan almari, meja dan banyak barangan perabot mereka rosak. Jadi, bantuan ini dilihat mampu meringankan beban mereka selepas musibah banjir.

“Perniagaan Hikmat Ikhtisas merupakan penyumbang utama misi kali ini dengan menyumbang dana sebanyak 95 peratus. Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) turut membantu dari aspek tenaga dalam menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir,” katanya kepada ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Program Kerohanian di Masjid Kampung Lubok Gong di sini hari ini.

Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye, Azline Ariffin atau Ezlynn turut sama menyertai misi agihan perabot kepada mangsa banjir di Kampung Lubok Gong dan Kampung Tersang.

Ezlynn menyeru rakan artis lain agar bersama membantu mangsa banjir terutamanya di Kelantan.

“Bantuan bukan sekadar dari segi harta, sokongan moral juga penting untuk menggembirakan mangsa banjir yang terkesan dengan musibah ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN