Mahkamah pemutus status empat ahli Parlimen Bersatu

Mahkamah pemutus status empat ahli Parlimen Bersatu

TONY PARIDI BAGANG, JAMAE HAMIL dan MUJIBU ABD. MUIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jalan terakhir bagi menghentikan segala pertikaian sama ada empat ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar parti dan menyokong Kerajaan Perpaduan perlu mengosongkan kerusi Parlimen mereka atau sebaliknya adalah dengan memfailkan petisyen ke mahkamah.

Meskipun terdapat laporan keempat-empat ahli Parlimen terlibat tidak perlu mengosongkan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), setelah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menghantar surat kepada pimpinan Bersatu, ia tidak menjamin status kedudukan wakil rakyat tidak dipersoalkan.

Ketika ini, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa penuh kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memutuskan jika tindakan empat ahli Parlimen itu melanggar Perkara 49A dan perlu mengosongkan kerusi atau sebaliknya.

Pun begitu, Parti Warisan (Warisan) lebih awal lagi sudah menyatakan akan terus menekan dan mencabar keabsahan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah, yang mana beliau telah membawa semua wakil rakyatnya (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) keluar Bersatu dan kekal di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, kedudukan ahli-ahli Parlimen berkenaan hanya boleh ditentukan di mahkamah supaya tidak timbul lagi gerakan yang menentang keputusan dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

 

“Misal kata mahu puas hati semua pihak juga, jadi, mahkamah yang mesti tentukan apakah status mereka sekarang. Tetapi, ia tidak semudah itu sebab proses undang-undang mahkamah mengambil masa yang sangat lama.

“Cuma, ada contoh duluan yang pernah diamalkan sebelum 2009 ketika berlaku perubahan kerajaan negeri Perak di bawah Pakatan Rakyat ke Barisan Nasional (BN). Sebelum tahun tersebut, budaya diamalkan oleh BN sejak sekian lama untuk menentukan kekosongan kerusi atau tidak bergantung pada speaker dewan. Tidak perlu bawa ke mahkamah.

“Selepas tahun itu, sudah berubah. Speaker dewan kata tiada kosong kerusi dan dibawa ke mahkamah. Cuma, ia menjadi rumit kerana urusan politik pun kena ikut mahkamah sedangkan ia sudah ditentukan masing-masing oleh parti atau bidang kuasa yang ada di peringkat DUN sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, empat ahli Parlimen Bersatu iaitu Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar); Datuk Jonathan Yasin (Ranau); Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dilaporkan keluar parti.

Ia setelah Pengerusi GRS, Hajiji yang juga bekas Pengerusi Bersatu Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar parti namun kekal di bawah gabungan berkenaan.

Tindakan itu menyebabkan pertikaian banyak pihak bahawa kemungkinan mereka telah melanggar undang-undang yang memperuntukkan larangan ahli Parlimen bertukar parti selaras Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tony Paridi Bagang berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tidak perlu mengosongkan kerusi perlu dirujuk ke badan kehakiman jika speaker dewan bertindak di luar kuasanya.

“Pastinya keputusan yang dibuat oleh speaker adalah berdasarkan bidang kuasa dan peruntukan undang-undang sedia ada. Namun, sekiranya speaker dewan ‘ultravires’ dalam hal ini, pihak berkenaan boleh rujuk kepada mahkamah untuk menentukan keabsahan keputusan atau merungkai persoalan berkaitan bidang kuasa speaker dewan dan kedudukan ahli Parlimen berkenaan” katanya.

Pensyarah Kanan Sains Politik UiTM, Mujibu Abd. Muis pula berkata: “Saya setuju ia perlu diselesai di mahkamah memandangkan kaedah pertama sudah dilakukan iaitu notis kepada speaker untuk pertimbangan.

“Kalau masih tidak berpuas hari, mahkamah adalah jalan terbaik untuk selesaikannya,” jelas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya