MA63: Status Borneo dirujuk Majlis Raja-Raja

MA63: Status Borneo dirujuk Majlis Raja-Raja

ANWAR Ibrahim bercakap dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 di Kuching. Sarawak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pewartaan status Sarawak dan Sabah secara rasmi sebagai wilayah akan dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja Melayu sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, ini kerana ia melibatkan Perlembagaan dan perbatasan sekali gus memerlukan pandangan Majlis Raja-Raja Melayu sebelum Kabinet membuat keputusan.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan tetap berpendirian jelas perubahan istilah itu tidak memberi kesan kepada pengiktirafan meskipun mengambil kira Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dimeterai sebelum ini.

Katanya, ini kerana status dalam perjanjian yang dipersetujui adalah Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang mewakili tiga entiti.

“Dalam perjanjian dimeterai itu disebut negeri, semenanjung Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo. Dari segi pelaksanaan itu jelas ia tiga entiti sama ada disebut negeri atau wilayah, ia tidak merubah sikap kerajaan dan pendirian kita bahawa entitinya adalah Sabah, Sarawak dan semenanjung Tanah Melayu.

“Tetapi pindaan mana-mana istilah ini harus dirujuk kepada Raja-Raja Melayu kerana ini masalah (perbatasan) kemudian Parlimen, proses itu boleh berjalan.

“Namun, saya tak mahu riuh perkara itu kerana ia tidak menjejaskan kedudukan status negeri dalam konteks Perlembagaan negara yang sudah dipinda dan soal MA63. Jadi proses itu kita harus hormati kerana mana-mana perubahan itu harus dirujuk.

“Saya belum rujuk dengan Raja-Raja Melayu, hanya perbincangan awal dengan Yang di-Pertuan Agong, jadi kita harus hormat proses tersebut yang penting tidak ada perubahan. Cuma ini bukan istilah mengganggu pengiktirafan, pengiktirafan itu ada, saya dan jemaaah menteri pendirian kita jelas tiga entiti sekarang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini semalam.

Biarpun istilah itu belum diubah, kata Anwar, status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah dalam MA63 adalah jelas sebagai satu entiti yang berasingan.

Terdahulu beliau berkata, tidak dinafikan Sarawak dan Sabah menjadi sebahagian daripada tiga entiti yang menubuhkan Malaysia.

Katanya, walaupun terma rasmi untuk Sarawak dan Sabah masih belum dimuktamadkan, tetapi jelas tanah Borneo adalah sebahagian daripada entiti penubuhan itu.

Tambahnya, Kerajaan Pusat mengiktiraf status Sarawak dan Sabah sebagai entiti yang bersama Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia.

Justeru, beliau memberi jaminan bahawa terma itu tidak akan menjejaskan rundingan untuk memulihkan hak Sarawak dan Sabah.

“Namun begitu, kita perlu menghormati proses yang diperlukan untuk pindaan itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan kadar pemberian khas kepada Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan daripada RM16 juta kepada RM300 juta setahun.

Perdana Menteri berkata, semangat pemberian khas itu melihat kepada kedudukan Sabah dan Sarawak yang mundur ketika pembentukan Malaysia, 60 tahun lalu.

Katanya, ketika itu pimpinan memutuskan harus ada peruntukan namun sejak bertahun-tahun Sarawak hanya diberi RM16 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN