Lelaki dipenjara 8 tahun 10 sebatan miliki, guna dadah - Utusan Malaysia

Lelaki dipenjara 8 tahun 10 sebatan miliki, guna dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah memiliki dadah seberat 47.20 gram.

Muhammad Al Hafiz Abu Bakar, 27, turut diperintah menjalani hukuman penjara 12 bulan dari tarikh tangkapan atas kesalahan menggunakan dadah methamphetamine.

Hakim Hamidah Mohamed Deril memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak berkuat kuasa daripada tarikh tangkapan pada 8 November 2021.

Mahkamah turut mengarahkan Muhammad Al Hafiz menjalani pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes dan tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah.

Tuduhan pertama, Muhamad Al Hafiz didakwa memiliki methamphetamine seberat 47.20 gram kira-kira pukul 8.30 malam, 8 November 2021 di tepi tangga Blok KP2 di Taman Kuchai Jaya di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan minimum.

Tuduhan kedua, lelaki itu didakwa memasukkan dadah ke dalam badan tanpa kebenaran pukul 10 malam, hari yang sama di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Brickfields di sini.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(A) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan diwajibkan menjalani pengawasan dan penyeliaan pegawai pemulihan selama tempoh maksimum tiga tahun.

Muhammad Al Hafiz yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan bermula dari tarikh tangkapan serta hukuman dijalankan di Penjara Sungai Buloh kerana keluarga berada di Ipoh, Perak.

Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn pula memohon hukuman setimpal dijatuhkan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya yang juga orang awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN