Lebih ramai pemimpin UMNO kena tindakan?

Lebih ramai pemimpin UMNO kena tindakan?

NOH OMAR dan KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih ramai pemimpin UMNO dijangka dikenakan tindakan kerana mengeluarkan kenyataan dan melakukan perbuatan yang dianggap mencalar imej parti itu.

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, UMNO perlu mengambil tindakan tersebut bagi menjaga nama baiknya supaya tiada lagi pemimpin yang berani berbuat demikian.

Tanpa mendedahkan nama-nama pemimpin yang bakal dikenakan tindakan, kata sumber itu, langkah tersebut diambil setelah selesai Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022) lalu.

“Itu yang dirancang untuk menjaga nama baik UMNO, siapa yang kena itu sendiri boleh fikir,” katanya di sini semalam.

Menguatkan perkara itu adalah satu surat yang didedahkan kepada akhbar ini berhubung beberapa pemimpin termasuk bekas Pengerusi UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang dipanggil memberi keterangan pada 30 Januari ini kepada Lembaga Disiplin parti berkenaan.

Turut dipanggil ialah beberapa pimpinan tertinggi UMNO Tanjong Karang dengan alasan mensabotaj parti dan berkempen untuk calon lain pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam surat itu juga, lima individu berkenaan diminta menghadiri sesi pendengaran oleh Lembaga Disiplin pada pukul 2.30 petang di Ibu Pejabat UMNO untuk pendengaran aduan dan membuat perakuan atau sebaliknya.

Noh yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini meletak jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor selepas menyifatkan tidak lagi memperoleh kepercayaan daripada Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas Ahmad Zahid dilihat hilang kepercayaan kepadanya semasa PRU15 termasuk tidak dipanggil untuk berbincang mengenai proses pemilihan calon bertanding sebelum ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Mesyuarat Lembaga Disiplin UMNO di Menara Dato Onn di sini kelmarin dipercayai menyentuh tindakan yang bakal dikenakan terhadap bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Difahamkan, perbincangan itu hanya membabitkan pengurusan Lembaga Disiplin UMNO dan hasilnya akan diteliti dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), hari ini.
Dilaporkan status keahlian UMNO Khairy Jamaluddin juga dibincang dalam mesyuarat berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×