Lawatan PM bakal teroka peluang pelaburan di Nusantara

Lawatan PM bakal teroka peluang pelaburan di Nusantara

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia dijangka terlibat aktif dalam pembangunan projek pembinaan Ibu Kota Negara (IKN) baharu Indonesia iaitu Nusantara yang bakal mula dibuka awal tahun depan.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir malah seperti memberikan bayangan awal kemungkinan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga bersedia untuk berpindah ke sana.

“Sebanyak 11 surat hasrat dari pelbagai firma Malaysia akan diserahkan kepada pihak berkuasa Nusantara bagi usahasama pembangunan IKN,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Sesi itu dibuat bersempena lawatan rasmi julung kali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia setelah dilantik menerajui kerajaan pada 24 November tahun lepas.

Awal tahun lalu, Kementerian Luar Indonesia mengedarkan nota diplomatik meminta agar semua kedutaan asing di Jakarta perlu berpindah ke Nusantara dalam tempoh 10 tahun.

Langkah ini menyaksikan 105 pejabat misi diplomatik di sana kena dipindahkan paling lewat 2034 selepas IKN tersebut yang terletak di Wilayah Kalimantan Tengah itu dibuka.

Ini termasuk Sekretariat ASEAN dan pejabat Kesatuan Eropah (EU) susulan kelulusan rang undang-undang bagi Nusantara oleh Parlimen Indonesia pada 18 Januari 2022 lalu.

Lokasi baharu yang diwartakan sebagai Daerah Khusus Ibukota itu berkeluasan 2,560 kilometer persegi terletak 1,930 kilometer dari Jakarta dengan mengikut waktu Malaysia.

Mengulas lebih lanjut, Zambry berkata, lapan memorandum persefahaman juga akan dimeterai ketika sesi kunjungan Anwar ke atas Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Bogor.

“Sebahagian besarnya melibatkan kerjasama pembangunan IKN kerana dijangka kesan pembukaan Nusantara memberi limpahan ekonomi kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Justeru, beliau membayangkan pelaburan Malaysia kelak bakal memfokuskan kepada Borneo setelah IKN baharu Indonesia itu beroperasi sepenuhnya dalam masa sedekad nanti.

Sepanjang tahun lalu, Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar di peringkat ASEAN dengan nilai perdagangan sebanyak RM110.4 bilion.

Keadaan positif pasca pemulihan pandemik Covid-19 itu menyaksikan jumlah perdagangan kedua-dua negara berjiran tersebut melonjak 41.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Lawatan Anwar ke republik itu juga akan membincangkan strategi bersama bagi melawan kempen anti minyak sawit Malaysia dan Indonesia di pasaran Kesatuan Eropah ketika ini.

Perdana Menteri yang dijemput Joko bagi melawat negara itu turut berdiskusi berhubung isu sempadan darat dan maritim selain masalah pengambilan pembantu rumah Indonesia.

“Beliau juga akan berbincang mengenai status Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN 2023 serta menyampaikan syarahan umum dan bertemu rakyat Malaysia di Jakarta,” katanya.

Kedudukan republik itu dianggap amat penting bukan sahaja sebagai negara terbesar dan paling ramai penduduk di rantau Asia Tenggara malah antara gergasi ekonomi sejagat.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga merupakan canseri diplomatik terbesar di luar negara yang menempatkan 13 agensi negara dan Pejabat Perwakilan Tetap ke ASEAN.- uTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN