Konsert Saujana buat peminat selepas 25 tahun

Konsert Saujana buat peminat selepas 25 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas 25 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air, kumpulan Saujana meraikan ulang tahun penubuhan kumpulan dengan menghadiahkan konsert buat peminat, 5 Mac depan.

Kumpulan yang memperjuangkan irama nasyid ini dibarisi tiga ahli yang masih bergiat aktif iaitu Suffian Amrin, Azalinor Abdul Rahman dan Ahmad Zuhaidi Abd. Aziz; manakala empat ahli asal yang lain ialah Dr. Khairul Idzwan, Dr. Faizul Hizal Ghazali, Mohd. Hakimi Harun dan Wan Najran Wan Noh.

Menurut Suffian, idea asal menganjurkan konsert tercetus ketika mereka mengadakan persembahan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK) yang merupakan lokasi tertubuhnya kumpulan yang popular dengan lagu Keluarga Bahagia, Sepohon Kayu dan Suci Sekeping Hati.

“Waktu itu ada program alumni di sekolah dan kami persembahkan beberapa lagu. Kemudian ada alumni lain yang bertanya tentang konsert.

“Asalnya memang kami rancang nak buat persembahan berskala kecil seperti majlis minum petang, tetapi hikmah pandemik Covid-19 dan persahabatan yang terjalin sejak bangku sekolah mencetuskan konsert ini.

“Kami juga sangat bersyukur kerana mendapat Dana Kandungan Digital (DKD) daripada pihak kementerian yang sangat membantu anak seni seperti kami bergiat lebih aktif,” katanya semasa sidang akhbar penganjuran konsert tersebut di ibu negara, semalam.

Dalam pada itu, Azalinor berkata, dana DKD yang diterima bukan bagi urusan pembayaran artis sebaliknya perlu digunakan bagi membiayai kos di belakang tabir semasa konsert nanti.

“Dana DKD digunakan untuk bayaran teknikal serta melibatkan individu-individu di belakang tabir semasa penganjuran konsert. Bayaran untuk artis pula adalah melalui penjualan tiket nanti,” jelasnya.

Konsert Saujana 25 tahun akan menampilkan konsep persembahan yang unik menerusi gabungan lagu ketuhanan dengan irama tradisional, hasil kolaborasi Saujana dengan Orkestra Tradisional Malaysia.

Saujana yang pernah menghasilkan tujuh album studio turut menampilkan artis jemputan seperti Nazrey Johani, Ustaz Nabil, kumpulan Awla dan Andika semasa konsert di Zepp KL.

Harga tiket dijual bermula RM109, RM161, RM213 dan RM265 dan boleh dibeli di www.ticket2u.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya