Kes tidak diteruskan, Shahrir bebas tuduhan gagal isytihar wang RM1 juta - Utusan Malaysia

Kes tidak diteruskan, Shahrir bebas tuduhan gagal isytihar wang RM1 juta

SHAHRIR Ab. Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes gagal mengisytiharkan wang RM1 juta yang diterima daripada Najib Tun Razak. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab. Samad di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan wang RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu daripada pertuduhan pada saat-saat akhir sejurus sebelum bekas Perdana Menteri dijadual memberi keterangan hari ini.

Hakim Muhammad Jamil memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes terhadap beliau pada masa akan datang.

“Timbalan pendakwa raya mengesahkan bahawa pendakwaan tidak diteruskan terhadap tertuduh dalam tempoh terdekat. Dalam keadaan sedemikian, wajar tertuduh dilepas dan dibebaskan,” ujar hakim berkenaan.

Mahkamah mengguna pakai Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah (CPC) ketika membebaskan Shahrir selain terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang dirujuk oleh pihak pembelaan.

Hari ini mahkamah sepatutnya mendengar keterangan bekas Perdana Menteri yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-23 dalam perbicaraan itu.

Kes tersebut mencapai kemuncaknya apabila pegawai penyiasat, Penolong Penguasa Nurzahidah Yacop memberi keterangan bahawa Najib menulis dan menandatangani sendiri cek AmIslamic milik beliau sebelum menyerahkannya kepada Shahrir pada 27 November 2013 di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, sembilan tahun lalu.

Ketika mahkamah mula bersidang, Rasyidah memohon Shahrir dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan berdasarkan Seksyen 254 CPC atas alasan pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes terhadapnya.

Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon bekas Pengerusi Felda itu dibebaskan berdasarkan keterangan di mahkamah bahawa keputusan Peguam Negara mendakwa Shahrir dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa berdasarkan keterangan yang tidak mencukupi.

Peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad berhujah, keterangan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jelas menunjukkan Shahrir dihadapkan ke mahkamah walhal siasatan terhadapnya tidak lengkap.

Hakim Muhammad Jamil kemudian meminta penjelasan daripada Rasyidah alasannya untuk tidak meneruskan pendakwaan.

Hakim: Boleh saya tahu kenapa pendakwaan tidak diteruskan terhadap tertuduh? Ada apa-apa alasan?

Rasyidah: Arahan yang kami terima adalah tidak meneruskan pendakwaan, setakat itu sahaja Yang Arif.

Hakim: Adakah pendakwaan akan diteruskan terhadap tertuduh pada tarikh-tarikh akan datang dalam masa terdekat?

Rasyidah: Tidak.

Sementara itu, seorang lagi peguam bela Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros memohon perintah pembebasan mutlak terhadap Shahrir kerana pendakwaan terhadap beliau sejak tahun 2020 turut menyebabkan maruah keluarganya tercalar.

Ujarnya, pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan 22 saksi dan 102 dokumen yang mana sebahagiannya telah ditandakan sebagai eksibit.

“Mereka minta berhenti sejenak (DNAA), bukan berhenti terus. Tan Sri Shahrir akan tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya sama ada beliau akan diheret semula. Kami memohon agar pertuduhan seperti ini dinoktahkan,” ujar Syed Faisal Al-Edros.

Beliau selanjutnya berkata, saksi dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut mengesahkan, tiada dokumen diserahkan kepada agensi itu untuk membuat penentuan berhubung status RM1 juta sama ada ia pendapatan atau sebaliknya.

Peguam bela turut merujuk satu keputusan terkini Mahkamah Persekutuan yang dijadikan rujukan undang-undang bagi menyokong permohonan pembebasan Shahrir.

Sewaktu mengumumkan keputusan tersebut, Hakim Muhammad Jamil turut melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan pada 27 dan 28 Februari yang telah ditetapkan sebelum ini.

Beliau turut memerintahkan wang jaminan dikembalikan kepada penjamin, pasport yang ditahan oleh mahkamah diserahkan semula kepada tertuduh manakala semua eksibit dikembalikan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Shahrir, 73, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.

Tindakan itu didakwa bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Shahrir didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya