Kerjasama awam-swasta tangani perubahan iklim

Kerjasama awam-swasta tangani perubahan iklim

NIK Nazmi Nik Ahmad pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara UN-Habitat dan Think City di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak mampu menangani dan melawan perubahan iklim bersendirian, sebaliknya perlu melibatkan semua sektor termasuk kerjasama pihak swasta dan orang awam.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tiada kerajaan di dunia mampu mengatasi fenomena itu sendirian.

Beliau berkata, NRECC memuji langkah dan kerjasama menerusi program adaptasi iklim pertama di Malaysia dikenali sebagai Pelan Adaptasi Iklim Semulajadi Pulau Pinang (PNBCAP) yang dicetuskan Think City pada 2019.

“Program lima tahun itu turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), malah PNBCAP juga sudah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM44.23 juta setakat ini,” katanya ketika berucap pada Majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Program Petempatan Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) dan Think City di sini, hari ini.

Katanya, Think City adalah satu organisasi berfokuskan impak untuk merealisasikan ruang dan bandar yang lebih berdaya mampan dan saksama.

Nik Nazmi berkata, kerjasama Think City dan UN-Habitat itu penting memandangkan badan dunia itu memiliki kepakaran dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan melawan kesan perubahan iklim seperti banjir kilat dan kesan pulau haba bandar.

Menurutnya, beberapa tahun lalu, Pulau Pinang amat terkesan dengan perubahan iklim, terutama di bahagian pulau disebabkan oleh faktor geografi dan infrastruktur, yang merangkumi tapak warisan bersejarah serta pembangunan bandar serba moden.

“Tapak Warisan Dunia Georgetown pula mencatatkan suhu yang tinggi setiap hari disebabkan oleh kesan pulau haba bandar dan mudah banjir kerana adanya peningkatan kegiatan pembandaran, hujan lebat, fenomena air pasang dan musim tengkujuh,” katanya.

Katanya, PNBCAP juga telah memenangi anugerah berprestij Climathon Global Awards 2020, malah ia juga selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjadi negeri berorientasikan kekeluargaan, hijau dan pintar menjelang tahun 2030.

Menerusi kerjasama itu, Think City akan bekerjasama dengan MBPP dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan menggabungkan intervensi fizikal dan pelan tindakan strategik di negeri itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.