Kecewa Perak tidak usaha selamatkan tanah rizab Melayu

Kecewa Perak tidak usaha selamatkan tanah rizab Melayu

Laporan Mingguan Malaysia bertarikh 24 Januari 2021 mengenai Tanah Rizab Melayu yang ditukar milik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aktivis tanah rizab Melayu Perak kecewa tiada sebarang tindakan diambil selepas lebih setahun Jabatan Audit Negara (JAN) mendedahkan isu penyelewengan tanah rizab Melayu di negeri itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hamizura Osman, yang juga ahli pasukan forensik tanah rizab Melayu Perak berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila Kerajaan Negeri Perak enggan memberikan kerjasama dengan pasukannya untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian.

“Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), saya sudah menghubungi beberapa anggota tertinggi Kerajaan Negeri Perak. Namun, mereka enggan melayan permohonan pasukan saya untuk bertemu dan berbincang tentang tanah rizab Melayu di Perak yang diseleweng.

“Kerajaan Negeri Perak takut, kalau isu ini mendapat perhatian umum, mereka terpaksa membayar ganti rugi atau pampasan kepada pengusaha bukan Melayu yang membangunkan tanah-tanah rizab Melayu di negeri itu,” katanya di sini, semalam.

Sedangkan kata beliau, pihaknya sudah menyediakan satu kertas cadangan mekanisme khusus yang membolehkan Kerajaan Negeri Perak untuk menggantikan tanah-tanah rizab Melayu yang sudah bertukar hak milik, tanpa perlu mengeluarkan sebarang bayaran atau ganti rugi kepada mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Hamizura berkata, pihaknya telah membuat laporan dan semakan berhubung penyelewengan tanah rizab Melayu di Perak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak

“Aduan dan semakan itu kami buat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Kami tanya, dengan pengesahan oleh JAN, maksudnya memang berlaku kesalahan dan penyelewengan terhadap tanah rizab Melayu di Perak. Jadi, apa tindakan SPRM terhadap pendedahan yang kami buat dalam Mingguan Malaysia sebelum ini?

“SPRM Perak kata, laporan sudah lengkap dan mereka sudah hantar ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. Mereka minta pasukan saya buat susulan kepada SPRM Putrajaya,” katanya di sini, semalam.

Mengulas isu dibangkitkan akhbar ini, JAN dalam laporannya menyatakan, semakan audit mendapati 492 hak milik pegangan Melayu yang meliputi tanah rizab Melayu seluas 1,667.36 hektar termasuk 649.2 hektar seperti dilaporkan akhbar ini, telah sempurna dipindah milik kepada individu dan syarikat bukan Melayu pada tahun 2012.

“Selain itu, didapati tiada endorsan KRM dibuat pada hak milik sambungan yang dikeluarkan. Semakan Audit selanjutnya mendapati sehingga tarikh pengauditan, tiada sebarang pembatalan Rizab Melayu bagi kedua-dua hartanah tersebut.

“Lawatan fizikal Audit mendapati hartanah Sitiawan 1 masih dilitupi dengan tanaman kelapa sawit. Sebahagian hartanah Sitiawan 2 sedang giat dibangunkan sebagai skim perumahan bercampur yang dikenali sebagai Bandar Baru Setia Awan Perdana,” kata laporan tersebut.

Pada masa sama, laporan itu menjelaskan bahawa pihak Audit dimaklumkan pembangunan hartanah Sitiawan 2 dibuat secara berperingkat yang meliputi rumah kediaman, lot kedai, pembangunan pusat dagangan dan bandar komersial.

“Lawatan Audit mendapati fasa pertama perumahan tersebut telah berjaya dijual kepada pembeli Melayu dan bukan Melayu,” kata laporan itu lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN