Kanak-kanak berisiko hidap rabun - Utusan Malaysia

Kanak-kanak berisiko hidap rabun

Dr. Malisa Ami (kanan) menjelaskan rawatan awal dalam kalangan kanak-kanak penting untuk mengelakkan mata malas atau 'amblyopia'.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBU bapa perlu membawa anak segera membuat pemeriksaan mata sekiranya mengesyaki penglihatan anak mereka bermasalah atau mengalami gejala mata tidak normal.

Kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun berisiko menghidapi masalah rabun.

Sebuah kajian yang melibatkan seramai 1,287 kanak-kanak tadika di Segamat, Johor pada 2016 mendapati 12.5 peratus kanak-kanak mengalami masalah penglihatan dan 95.4 peratus daripadanya adalah kerana masalah rabun.

Sesetengah penyakit mata dalam kalangan kanak-kanak amat jarang berlaku namun ia boleh mendatangkan maut seperti retinoblastoma, iaitu sejenis kanser mata kanak-kanak.

Jelas Pakar Perunding Oftalmologi, Pediatrik Oftalmologi dan Strabismus di Sunway Specialist Centre Damansara, Dr. Malisa Ami, rawatan awal dalam kalangan kanak-kanak penting untuk mengelakkan mata malas atau ‘amblyopia’.

“Mata yang kurang jelas penglihatan akan menjadi mata malas, disebut sebagai amblyopia. Ini kerana sistem pemprosesan visual di dalam otak tidak dapat berkembang dengan sempurna. Amblyopia jika tidak dirawat sebelum umur lapan tahun boleh mengakibatkan kurang upaya penglihatan yang kekal.

“Kebanyakan masalah mata dalam kalangan kanak-kanak adalah disebabkan oleh rabun sama ada rabun jauh atau miopia, rabun dekat dan rabun silau serta masalah mata juling. Kedua-dua penyakit mata ini jika dikesan awal boleh dirawat dengan berkesan dan penglihatan normal dapat dipulihkan kembali,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ujar Dr. Malisa, masalah rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak sering dikategorikan sebagai masalah yang tidak serius, yang hanya memerlukan cermin mata.

“Namun amatlah penting untuk dikesan awal, diberi rawatan yang sesuai dan dipantau. Ini kerana kanta cermin mata untuk rabun jauh akan meningkat apabila kanak-kanak tersebut membesar dan bola mata sedang memanjang.

“Jika tidak dikawal dan bola mata menjadi terlalu panjang, ia boleh mengakibatkan komplikasi seperti retina lekang atau degenerasi makula apabila dewasa nanti,” katanya.

Dr. Malisa Ami (kanan) menerangkan cara mengatasi masalah penglihatan dalam kalangan kanak-kanak di Sunway Specialist Centre Damansara. GAMBAR-Utusan Malaysia/Saddam Yusoff

Tambah beliau, masalah mata yang serius dalam kalangan kanak-kanak pula jarang berlaku, namun jika ia mengakibatkan kerosakan pada struktur mata atau urat saraf optik, berkemungkinan besar akan menyebabkan kehilangan upaya penglihatan yang kekal.

“Kanak-kanak yang menghidapi katarak, glaucoma, jangkitan kuman pada mata atau radang mata boleh memperolehi penglihatan normal jika dirawat awal dan komplikasi yang lebih serius dapat dielakkan.

“Sesetengah penyakit mata dalam kalangan kanak-kanak amat jarang berlaku namun ia boleh mendatangkan maut seperti retinoblastoma, iaitu sejenis kanser mata kanak-kanak.

“Ia dapat dikesan apabila refleks pada anak mata kelihatan putih. Refleks yang normal selalunya kemerahan. Retinoblastoma jika tidak dirawat dan dibendung pada peringkat awal, ia boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Tanda Masalah Rabun Kanak-Kanak

1) Kanak-kanak akan mengecilkan mata, mengenyit dan datang dekat pada objek seperti melihat televisyen untuk fokus dan lihat dengan jelas.

2) Posisi kepala yang tidak normal apabila melihat objek atau membaca. Kanak-kanak akan teleng, sengetkan kepala, melihat ke sebelah tepi atau mendongak, mendagu dan menunduk.

JULING

Boleh lihat yang kedua-dua mata tidak selari, sama ada ke dalam, ke luar, ke atas atau ke bawah.

ALAHAN

Suka menggosok mata, berair dan kadang-kadang merah. Ini petanda masalah mata seperti alahan (alergi) dan sebagainya.

RISIKO RABUN JAUH ATAU MIOPIA

1) Penggunaan gajet atau skrin dengan kerap menyebabkan kanak-kanak suka melihat pada jarak dekat dalam tempoh lama.

2) Kanak-kanak yang kurang bermain di luar, suka melihat gajet berisiko tinggi menjadi miopia seawal tiga hingga empat tahun. Risiko ini lebih tinggi jika ibu bapa juga mengalami miopia.

TEMPOH SESUAI PENDEDAHAN SKRIN

Umur dua tahun ke bawah – Tidak digalakkan beri apa-apa jenis atau bentuk digital skrin. Ini kerana boleh mengakibatkan masalah rabun, merencatkan perkembangan pertuturan dan percakapan serta boleh menyebabkan ketagihan.

Umur tiga hingga enam tahun – Satu jam sehari sahaja. Digalakkan berhenti pada setiap 20 minit. Ibu bapa perlu berinteraksi dengan anak dan menonton skrin digital atau video bersama-sama.

Umur enam tahun ke atas – Tidak melebihi satu jam setengah sehari termasuk telefon pintar dan televisyen. Dan merehatkan mata setiap 20 minit dengan melihat objek sejauh 20 kaki untuk 20 saat (peraturan 20-20-20).

SARINGAN BERKALA

Umur dua hingga enam bulan – Ibu bapa perlu pantau dan melihat perkembangan bayi adalah normal. Tanda-tanda penglihatan bayi yang normal termasuk bayi bertentang mata dengan mata ibu dan tersenyum serta mata bayi mengikuti objek yang bergerak dengan tepat.

Umur tiga hingga empat tahun – Kanak-kanak pada umur ini tidak dapat memberitahu ibu bapa jika ada masalah penglihatan. Jalani saringan penglihatan untuk pengesanan awal masalah rabun atau mata juling.

Umur enam hingga tujuh tahun – Sekali lagi kanak-kanak perlu menjalani saringan penglihatan sebelum memasuki sekolah rendah. Ibu bapa perlu peka tanda-tanda masalah penglihatan.

NUTRISI LENGKAP

Nutrisi yang lengkap penting untuk kesihatan mata. Vitamin A, B, C dan E penting untuk penglihatan. Kekurangan vitamin A boleh mengakibatkan kerosakan mata yang teruk dalam kalangan kanak-kanak atau dewasa.

Sayur-sayuran berwarna hijau dan berwarna-warni seperti bayam, brokoli, lobak merah, lada benggala kuning dan merah amat bagus untuk mata kerana mengandungi vitamin dan pigmen zeaxanthin dan lutein yang membantu kesihatan mata.

Pengambilan buah-buahan, berries dan makanan yang tinggi Omega 3 seperti ikan salmon, ikan kembung dan telur penting untuk kesihatan mata kerana mengandungi antioksidan yang tinggi.

PENGAMBILAN SUPLEMEN

Adakah kanak-kanak perlu suplemen untuk menampung kesihatan mata? Ibu bapa tidak perlu risau jika pemakanan seimbang sudah diberi. Namun jika anak memilih makanan dan tidak gemar makan sayur atau makanan sihat, bolehlah diberi suplemen.

Tapi yang penting ubah cara pemakanan supaya anak makan makanan yang sihat daripada menambah suplemen dan meneruskan pemakanan yang kurang nutrisi dan tidak seimbang.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan keterangan lanjut, boleh menghubungi 012-262 3560, website: https://sunwayspecialistdamansaracentre.com.my/, Facebook dan IG: SunwaySpecialistDamansara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.