Kalah PRU15, pemilihan, kerajaan perpaduan hangatkan PAU 2022

Kalah PRU15, pemilihan, kerajaan perpaduan hangatkan PAU 2022

Petugas UMNO membuat persiapan akhir Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang akan bermula hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pemilihan parti dan kerajaan perpaduan dijangka mewarnai Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang memulakan tirainya hari ini.

Dengan dihadiri 5,523 perwakilan UMNO dari seluruh negara, perhimpunan itu merupakan julung pertama selepas UMNO menyertai kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kekalahan kali kedua pilihan raya umum (PRU) yang menyaksikan parti itu hanya menguasai 27 kerusi Parlimen.

Malah berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) selama empat hari sehingga Sabtu ini, perhimpunan itu mencatatkan sejarah tersendiri apabila penganjuran kali ini sedikit berbeza daripada sebelumnya apabila Taklimat Presiden diadakan kembali menambahkan lagi kemeriahan dan semangat dalam kalangan perwakilan yang hadir.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Taklimat Presiden tertutup itu akan dihadiri oleh lebih 2,000 perwakilan dan pimpinan di Dewan Merdeka.

“Itu kelainan pertama kerana sudah lama tidak diadakan Taklimat Presiden sebelum ini, jadi Majlis Tertinggi meminta saya menguruskannya dan segala jemputan telah kita buat selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO baru-baru ini,” katanya seperti dipetik dalam UMNO Online.

Beliau turut memaklumkan Perhimpunan Agung Khas juga memberikan signifikannya tersendiri pada penganjuran kali ini apabila bakal meminda dua usul Perlembagaan UMNO.

“Satu lagi atur cara penting dalam perhimpunan kali ini ialah Perhimpunan Agung Khas UMNO bagi meminda Perlembagaan yang pertama untuk memasukkan daripada ketua-ketua penerangan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri sebagai perwakilan secara automatik.

“Ia juga menyelaraskan dengan Akta Lompat Parti apabila seseorang itu melompat ke parti lain maka tergugur keahliannya,” katanya.

Tirai perhimpunan bermula dengan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada pukul 8 malam di Dewan Merdeka.

Antara aktiviti PAU 2022 ialah tiga sayap parti akan bersidang bermula pukul 8 pagi esok iaitu Wanita di Dewan Tun Razak, Pemuda di Dewan Merdeka dan Puteri di Dewan Tun Dr. Ismail dan Dewan Tun Hussein Onn.

Jumaat ini pula Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama barisan kepimpinan parti akan menyempurnakan upacara menaikkan bendera UMNO, Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka pada pukul 8 pagi.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN