Johor mohon pembinaan PPR Larkin dimasukkan dalam RMK12

Johor mohon pembinaan PPR Larkin dimasukkan dalam RMK12

MOHD. Jafni Md. Shukor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Chen Kah Eng menyantuni masyarakat yang hadir pada Program Jom Turun@PPR Sri Stulang dan Sri Iskandar, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan untuk memasukkan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Larkin dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, permohonan yang dibuat kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menampung kepadatan penduduk yang tinggal di kawasan itu.

Beliau berharap KPKT di bawah pimpinan Menterinya, Nga Kor Ming dapat mempertimbangkan pembinaan PPR yang mendesak itu.

“Kita ada mengemukakan dua cadangan kos pembinaan iaitu RM150 juta dan RM86 juta yang boleh dipertimbangkan. Itu adalah satu-satunya PPR di Johor yang kita mohon untuk RMK12.

“Di peringkat permohonan kita, dari segi teknikal, dokumentasi, tanah dan isu-isu berkaitan semua kerajaan Johor sudah selesaikan. Jadi, kita harap KPKT dapat mempertimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jom Turun@PPR Sri Stulang dan Sri Iskandar, di sini hari ini.

Setakat ini, Johor mempunyai 13 PPR antaranya PPR Desa Mutiara, PPR Kempas Permai, PPR Melana Indah, PPR Uda Utama, PPR Perling dan PPR Pelangi Indah.

Mohd. Jafni berkata, setakat ini terdapat enam PPR masih dalam proses pembinaan iaitu PPR Pengerang, PPR Ulu Tiram, PPR Permas Jaya, PPR Masai, PPR Bandar Tenggara dan PPR Sembrong.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah mengenakan pengecualian sewa PPR dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) selama dua tahun pada 2021 dan tahun lalu berikutan pandemik Covid-19. 

Justeru, seramai 14,000 penyewa di 13 PPR dan tujuh RSK di seluruh negeri ini perlu mula membuat bayaran sewa bulanan bermula Januari dengan selewat-lewatnya pada setiap 7 hari bulan.

“Saya harap tahun ini kita sasarkan sebanyak RM24.9 juta untuk pungutan keseluruhan pungutan sewa.

“Kerajaan tidak ambil apa-apa untung kerana sebahagian besar RM18 juta digunakan untuk kos penyelenggaraan,” katanya.

Bayaran sewa boleh dibuat secara dalam talian menerusi Johorpay tanpa perlu ke kaunter Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya