JKN Melaka sita 5,057 jenis makanan tahun lalu

JKN Melaka sita 5,057 jenis makanan tahun lalu

PENGUATKUASA JKN Melaka melakukan pemeriksaan di 30 pasar raya, kedai runcit dan pasar mini bermula 8 hingga 19 Januari 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka berjaya menyita sebanyak 5,057 jenis barangan yang menyalahi Akta Makanan 1983 bernilai RM157,461.14 sepanjang tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, bagi tahun 2022 juga, pihaknya telah mengeluarkan 53 kompaun bernilai RM157,000 membabitkan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, JKN turut menjalankan pemeriksaan premis makanan membabitkan 5,081 premis dengan 58 daripadanya diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 akta sama.

“JKN Melaka juga telah mengeluarkan sebanyak 1,664 notis di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan nilai kompaun RM211,650.

“Kami menasihatkan agar semua premis makanan termasuk restoran, kedai makan, gerai, pasar raya, kedai runcit dan pasar mini hendaklah menjaga kebersihan premis serta sentiasa memastikan makanan yang dijual tidak tamat tarikh luput serta mematuhi keperluan pelabelan makanan.

“Kita akan meningkatkan pemantauan ke atas semua premis jualan makanan di sekitar Melaka bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan Operasi Tahun Baru Cina (Op TBC), Rusdi memaklumkan, sebanyak 450 produk makanan bernilai RM2,381.93 dirampas membabitkan pemeriksaan di 30 pasar raya, kedai runcit dan pasar mini bermula 8 hingga 19 Januari lalu.

Jelasnya, rampasan dibuat akibat kesalahan daripada segi keadaan bungkusan dan pelabelan serta makanan tersebut telah melepasi tarikh luput.

“Di samping itu, sebanyak sembilan kompaun telah dikeluarkan bernilai RM27,500 bagi kesalahan yang dikesan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985. Selain pemantauan keselamatan makanan, kita juga melaksanakan pemeriksaan kebersihan premis makanan.

“Sehingga 19 Januari 2023, sebanyak 83 premis makanan telah diperiksa dengan 97 kompaun kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan dengan nilai RM26,650.

“Antara kesalahan yang dikenakan tindakan kompaun adalah makanan ditempatkan atau diletakkan di atas lantai, tidak mempunyai suntikan dan kursus pengendali makanan serta tidak memakai apron,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya