Jejantas ‘lut sinar’ undang bahaya kepada pengguna

Jejantas ‘lut sinar’ undang bahaya kepada pengguna

KEADAAN jejantas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar yang tidak berbumbung dan mengundang kecaman masyarakat kerana dilihat semakin uzur di Jalan Beserah di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN : Keadaan jejantas di Jalan Beserah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar dan SMK Saint Thomas di sini, yang semakin uzur mengundang kecaman masyarakat di situ.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hampir semua ke­pingan atap jejantas terbabit tercabut sekali gus menyebabkan pelajar sekolah yang menggunakan laluan itu terpaksa berpanas dan berpayung jika hujan.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Chan, 43, berkata, atap jejantas itu tercabut sedikit demi sedikit dan semakin teruk selepas musim hujan hujung tahun lalu.

Katanya, keadaan terbabit berlarutan sejak sekitar dua atau tiga tahun lepas sehingga mendapat julukan jejantas lut sinar.

“Kalau orang cakap pasal jejantas ini, semua tahu di mana. Ia bukan sahaja membahayakan, malah memburukkan imej bandar Kuantan.

“Saya yang sudah lama berniaga di sini sering menerima rungutan ibu bapa yang datang mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah. Boleh kata sudah bertahun-tahun masalah jejantas ini.

“Keadaan bertambah teruk jika musim hujan kerana pelajar tidak dapat berteduh dan hanya ada hentian bas kecil. Pelajar ramai kerana ada tiga atau empat buah sekolah yang pelajarnya menggunakan jejantas ini,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia difahamkan, beberapa pihak sudah hadir melihat keadaan jejantas berkenaan namun sehingga kini belum dibaik pulih.

Pihak berkenaan dikatakan tidak dapat melakukan kerja-kerja pemulihan kerana tidak mempunyai peruntukan berbuat demikian.

Seorang pengguna laluan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Amin, 27, pula berkata, dia pernah melihat atap jejantas yang tercabut ketika angin kuat sehingga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna laluan itu.

“Saya rasa ini sahaja satu-satunya jejantas yang berada dalam keadaan teruk sebegini. Ia membahayakan kepada pengguna laluan ini kerana serpihan atas tercabut boleh terkena kenderaan atau orang yang melalui jalan ini.

“Saya juga kasihan melihat pelajar yang menggunakan jejantas ini yang terpaksa berhujan dan berpanas setiap hari kerana sudah ketiadaan atap,” katanya.

Justeru, dia berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera untuk membaik pulih jejantas itu untuk kegunaan dan keselamatan pengguna yang menggunakan jejantas tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya