Janggal, sukar rakam lagu duet berasingan - Black - Utusan Malaysia

Janggal, sukar rakam lagu duet berasingan – Black

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kali pertama berkerjasama dengan komposer, Filsuf menerusi lagu, Nafas Naga, penyanyi, Black mengakui, amat menantikan peluang tersebut, biarpun terpaksa merakamkan lagu secara berasingan.

Malah, Black juga menyifatkan pengalaman merakamkan lagu tanpa panduan komposer dan rakan duet sebagai sesuatu yang janggal serta sukar.

“Pengalaman merakamkan lagu ini sangat berbeza. Kami buat rakaman berasingan di tempat masing-masing, saya di Kuala Lumpur, manakala Filsuf pula di Singapura.

“Keadaan ketika itu (pandemik) tidak mengizinkan untuk bersemuka. Kiranya agak janggal dan susah sedikit kerana suasana rakaman sangat berbeza.

“Saya terpaksa menggunakan pengalaman untuk menghayati lagu ini. Kebiasaannya, komposer akan ada sekali untuk ‘guide’ sepanjang proses rakaman, tetapi kali ini tidak,” katanya.

Nafas Naga merupakan hasil ciptaan Filsuf dan lirik bersama Arisz Ab Rahman adalah lagu yang dihasilkan khas untuk runut bunyi filem Duan Nago Bogho yang bakal ditayangkan bermula 19 Januari ini.

Sementara itu, Filsuf yang juga dikenali sebagai Daly Ahli Fiqir berkata, dia tidak mengambil masa lama untuk menghasilkan melodi dan lirik Nafas Naga.

“Apabila penerbit menawarkan saya untuk menghasilkan lagu tema atau runut bunyi bagi filem terbitan syarikatnya, idea itu datang secara spontan.

“Selepas saya membaca jalan cerita filem ini, saya mula menulis bahagian korus. Selepas itu, saya perdengarkan dan mereka menyukainya.

“Namun, mereka minta saya untuk selitkan juga loghat Kelantan. Saya ambil masa dua hari untuk menghasilkan lagu ini,” katanya.

Tambah Filsuf, lagu tersebut adalah kerjasama sulung bersama Black, biarpun sudah lama saling mengenali.

“Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Black. Lagu ini kami rakamkan secara berasingan.

“Alhamdulillah, semuanya okay dan tidak ada masalah. Cuma, ada beberapa bahagian yang perlu ditukar dan diperbaiki dari segi sebutan.

“Saya dan Black bukan anak jati Kelantan, jadi sebutan pada bahagian lirik dialek Kelantan itu pada awalnya kurang tepat dan tidak kena,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN