Jangan salahkan presiden, pemecatan keputusan lembaga disiplin - Utusan Malaysia

Jangan salahkan presiden, pemecatan keputusan lembaga disiplin

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak seharusnya dipersalahkan berhubung pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin parti itu semalam.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan memecat Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tan Sri Noh Omar diputuskan selepas siasatan lembaga disiplin parti yang berdasarkan kepada laporan dan aduan yang diterima.

Menurutnya, dalam UMNO, yang menjatuhkan hukum bukan presiden parti tetapi lembaga disiplin parti.

“Jika ada aduan yang dibuat ke atas seseorang ahli kepada lembaga disiplin maka lembaga itu akan mengadakan siasatan, menghakimi dan (seterusnya) membuat keputusan.

“Laporan itu kemudiannya dibawa dalam mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) semalam. Presiden parti yang mempengerusikan mesyuarat hanya membacakan sahaja, bukan dia yang buat keputusan.

“Jika ada ahli parti melanggar disiplin, melampau, jatuhkan maruah parti maka tindakan harus diambil,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Saarani yang juga Menteri Besar berkata, sama seperti organisasi lain, ahli perlu akur kepada perlembagaan dan peraturan parti dan mana-mana ahli yang melanggar perlembagaan dan peraturan parti akan dikenakan tindakan.

“Ada orang kata pemecatan ini akan menyebabkan perpecahan dalam parti dan sebagainya, tetapi siapa boleh bagi jaminan jika lembaga disiplin tak ambil tindakan, UMNO akan terus kukuh? Sedangkan di luar orang akan terus salahkan presiden kerana tak ambil tindakan.

“Jadi lebih baik kita akur dengan keputusan ini. Lembaga disiplin sudah buat siasatan berasaskan aduan dan laporan dan lembaga disiplin telah maklumkan keputusan kepada presiden parti. Presiden mempengerusikan mesyuarat telah bacakan keputusan itu,” katanya.

Selain bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, bekas Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar turut dipecat sebagai ahli UMNO dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu semalam kerana pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuklah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd. Sharif dan Ketua Bahagian UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya