Jangan salah guna perkataan sedekah - Utusan Malaysia

Jangan salah guna perkataan sedekah

RAJA Iskandar Dzurkarnain Almarhum Sultan Idris Shah (kanan) diberikan penerangan mengenai pembinaan Projek Piccadilly@Greentown di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengagihan wang tunai oleh parti politik kepada pengundi semasa pilihan raya dengan tujuan mempengaruhi pengundi agar menyokong mereka tetap merupakan satu perbuatan rasuah dan bukannya sedekah.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam perkara itu, parti politik tidak seharusnya menyalah gunakan perkataan atau makna sebenar sedekah.

Menurutnya, ini kerana sedekah ialah berbuat kebajikan kepada orang susah tetapi tidak hanya dilakukan semasa pilihan raya sahaja.

“Sedekah ialah satu perbuatan baik, perbuatan kebajikan, apabila dengar orang susah, tak kira musim pilihan raya atau tidak kira parti apa.

“Kalau tiba-tiba pada musim pilihan raya nak berbudi, itu menyalah guna perkataan sedekah. Sekarang ramai pelajar universiti yang susah, jadi mana-mana parti bantulah, jangan tunggu musim pilihan raya baru nak bagi tambang balik kepada mereka, jangan anggap rakyat tak reti sangat maksud sedekah.

“Kalau ikut SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) mana-mana pihak yang memberi dalam apa jua bentuk, wang, sampul surat, tanah dengan kuasanya dengan tujuan untuk mempengaruhi pengundi, itu adalah rasuah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Perasmian dan Pelancaran Projek Piccadilly@Greentown di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.

Saarani yang juga Menteri Besar berkata, pada prinsipnya, berdasarkan peraturan atau akta pilihan raya, adalah jelas menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak yang terlibat jika mereka menyogok pengundi dengan tujuan mempengaruhi pengundi bagi menyokong mereka.

“Cuma kadang-kadang ada orang pandai ‘bersilat’, dia tak bagi terus wang kepada pengundi tapi dia bagi kepada orang lain dan orang itu yang menyampaikannya.

“Itu ‘memberi’ jugalah maksudnya dan tetap salah. Jika ada orang berani mengaku menerima wang daripada calon dan ada bukti yang sahih, SPR akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahan pengagihan wang tunai oleh parti itu kepada pengundi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah ‘sedekah’ dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Beliau juga dilapor sebagai berkata, peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya