Jalan sesak, polis trafik iringi kenderaan wanita nyaris bersalin dalam kereta - Utusan Malaysia

Jalan sesak, polis trafik iringi kenderaan wanita nyaris bersalin dalam kereta

ANGGOTA polis trafik mengiringi sebuah kereta yang dinaiki wanita sarat mengandung untuk ke hospital, Kota Bharu, Kelantan – IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Tindakan pantas dua anggota polis trafik berjaya menyelamatkan seorang wanita sa­rat mengandung daripada ber­salin. Polis mengiringi kenderaan wanita itu yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya di Jelawat di sini ke hospital semalam.

Kereta jenis Proton Wira dipandu suami wanita itu dilihat memandu secara melulu dan memotong di garisan berkembar kira-kira pukul 7 malam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, dua anggota trafik yang baru sahaja selesai menjalankan Op Selamat di Jelawat terus bertindak menahan kereta tersebut.

Menurutnya, semasa menja­lankan soal siasat, pemandu kereta yang berusia dalam lingkungan 30-an memaklumkan isterinya sedang sakit untuk bersalin.

“Dua anggota trafik itu mengiringi kereta itu ke Klinik Kesihatan Gunong di sini untuk mendapatkan bantuan ambulans. Semasa sahaja tiba di klinik itu, ambulans didapati telah keluar untuk membawa pesakit lain ke hospital.

“Ini menyebabkan dua anggota polis itu terus bertindak mengiringi kereta terbabit sejauh 20 kilometer ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu ekoran bimbang wanita tersebut bersalin di dalam kereta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Shuhaimi memberitahu, pasangan suami isteri itu selamat tiba di HPRZ II kira-kira pukul 8 malam sebelum wanita terbabit dibawa ke wad bersalin.

Katanya, beliau menghargai tindakan pantas anggota polis yang prihatin dan cakna membantu orang awam pada Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina.

“Walaupun sibuk dengan tu­­gasan mengawal kesesakan trafik, anggota polis juga sentia­sa diingatkan agar mela­kukan khidmat sosial apabila masyarakat menghadapi masalah di jalan raya,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya