Jakel Shah Alam kedua termaju, tak masuk akal sengaja bakar

Jakel Shah Alam kedua termaju, tak masuk akal sengaja bakar tuntut insurans

PASUKAN bomba menjalankan penyiasatan punca kebakaran gedung tekstil terkenal, Jakel dekat cawangannya di Seksyen 7, Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Gedung tekstil, Jakel cawangan di Shah Alam adalah kedua termaju selepas Jakel Mall di Kuala Lumpur berbanding tempat lain sekali gus dakwaan kebakaran wismanya di sini sebagai tindakan untuk membuat tuntutan insurans disifatkan tidak masuk akal.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, dakwaan tular dalam media sosial mengatakan kebakaran yang berlaku itu disengajakan langsung tidak munasabah.

“Dalam keadaan sekarang yang mana tumpuan orang ramai membeli-belah mening­kat, dengan jualan akhir tahun, orang ramai, padat, kedai pun penuh dan bisnes pun maju, takkanlah kita hendak buat kerja-kerja kotor.

MOHAMED FAROZ MOHAMED JAKEL

“Saya orang Islam, apa yang berlaku saya reda dengan ketentuan Allah. Jadi pemikiran sedemikian, saya rasa kita tak boleh letakkan diri kita sama seperti mereka,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, beliau mendedah­kan, Jakel kerugian hampir RM100 juta berikutan kemusnahan blok bangunan lima tingkat dan tiga tingkat sementara jualan di cawangan tersebut mampu mencecah RM300 juta setahun.

Dalam pada itu, Mohamed Faroz menempelak tindakan war­ganet dengan menyifatkan mereka sebagai tidak sependapat atau menyukai Jakel dan menjelaskan tuntutan insurans belum tentu berpadanan dengan jumlah jualan dibuat Jakel terutama ketika akhir tahun serta musim perayaan.

“Tuntutan insurans bukan sebulan, enam bulan pun belum tentu dapat, itu satu. Kehilangan peluang lagi, orang hendak berniaga boleh untung, sekarang raya sudah dekat. Bila raya Jakel punya jualan berapa banyak, berapa juta ringgit? Berapa sangat nilai perlindungan insurans?

“Jadi, tak logik. Tak masuk akal sebab Jakel maju, bukan syarikat yang bermasalah. Lagi pun Shah Alam adalah cawangan nombor dua paling maju pertama di Jakel Mall,” jelasnya.

Dalam tinjauan Utusan Malaysia semalam, sebanyak 32 unit kedai di blok bangunan Wisma Jakel merangkumi dua buah bank, serta butik pakaian dan salun kecantikan terjejas akibat kebakaran gedung tekstil terkenal itu di Seksyen 7 pada awal pagi, kelmarin.

Daripada jumlah itu, selain kedai lima tingkat, stor simpanan barang di tujuh deretan kedai turut terjejas selepas terdapat laluan masuk ke tempat berkenaan dari blok utama gedung Jakel di Jalan Plumbum S7/S.

Sejumlah 20 unit kedai lagi merangkumi butik, bank dan sa­lun kecantikan tidak terkesan de­ngan kebakaran namun tidak da­pat beroperasi apabila bekalan elektrik di keseluruhan blok Wisma Jakel diputuskan untuk me­ngurangkan risiko perebakan api.

Sebanyak 50 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan Kota Anggerik bertugas termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) dari BBP Jalan Klang Lama dan Unit Forensik menjalankan kerja pe­nyiasatan selepas pemadaman api.

Kira-kira 10 pegawai dan anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam membuat kawalan keselamatan dekat Persiaran Kayangan dan menutup laluan ke Wisma Jakel termasuk dari Persiaran Permai di Seksyen 7.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan JBPM Selangor, Norizham Mohd. Nurdin ketika ditemui memaklumkan, penempatan anjing pengesan di sana adalah prosedur biasa untuk menyiasat punca kebakaran.

“Maksudnya, bukan setiap kebakaran bila dipanggil Unit K9 ada unsur sengaja bakar, tidak. Itu adalah satu prosedur kita untuk memastikan bahawa, unit itu dipanggil untuk memastikan penolakan atau bukan ada unsur sengaja bakar.

“Kes ini bukanlah dikatakan bangunan ini sengaja dibakar, tetapi sebagai prosedur sesuatu penyiasatan kebakaran. Memang kita akan panggil untuk membantu kita dalam penyiasatan kebakaran,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×