Isu 'kutty' Tun Mahathir: Pengurusan kes 28 Februari  - Utusan Malaysia

Isu ‘kutty’ Tun Mahathir: Pengurusan kes 28 Februari 

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saman fitnah yang difailkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana mengeluarkan kenyataan palsu yang mempersoal keturunannya ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di sini pada 28 Februari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam Mior Nor Haidir yang mewakili Dr. Mahathir selepas tamat prosiding dalam talian bagi pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar, Nor Afidah Idris. Hadir sama pada prosiding tersebut ialah peguam defendan, Intan Hanis Afiqah Razali.

Pengurusan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusoff.

Menurut Mior, pihaknya sudah bersedia dengan kesemua dokumen yang diperlukan dan akan meneruskan saman berkenaan memandangkan tidak wujud ruang di antara anak guamnya dengan Ahmad Zahid yang dinamakan sebagai defendan untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.

Pada 20 Ogos 2022, Dr. Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Ahmad Zahid kerana mengeluarkan kenyataan palsu yang mempersoal keturunan dan perjuangan politik beliau ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya, enam tahun lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Dr. Mahathir, 97, selaku plaintif mendakwa Presiden UMNO itu antara lain mempertikai asal usulnya yang dikatakan bukan berketurunan Melayu ekoran perkataan ‘kutty’ didakwa tertera pada kad pengenalan berwarna biru dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, rakaman video mesyuarat tersebut yang berlangsung pada 30 Julai 2017 kemudian diterbitkan semula dalam akaun Youtube Astro AWANI dan telah mencatat 148,199 tontonan.

Pernyataan tuntutan tersebut antara lain menyatakan, Ahmad Zahid seperti dalam rakaman video berdurasi hampir tiga minit itu turut memfitnah beliau dengan menyentuh perjuangan politiknya ketika dalam UMNO.

Menurut Dr. Mahathir, rakaman video itu turut disiarkan melalui platform lain termasuk portal-portal berita iaitu Free Malaysia Today (FMT), Malay Mail, MalaysiaKini dan Malaysia Today.

Plaintif menyatakan, defendan berniat jahat ketika mengeluarkan kenyataan fitnah sehingga mendedahkan beliau kepada kebencian masyarakat dan menyebabkan kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik berpengaruh, dipandang serong.

Plaintif turut memplidkan bahawa kenyataan-kenyataan fitnah itu telah merosakkan nama baik, maruah, reputasi dan integriti beliau selain bertujuan melemahkan pengaruh politiknya secara berterusan.

Menurut Dr. Mahathir, kenyataan fitnah itu juga turut membawa maksud plaintif menggunakan orang Melayu semasa berjawatan Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya serta memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.

Plaintif juga berasa malu dan terhina dengan keturunan nenek moyangnya yang mempunyai darah India.

Plaintif memplidkan bahawa kenyataan-kenyataan fitnah itu secara tersiratnya membawa maksud bahawa kredibiliti beliau selaku pemimpin negara dan pemimpin parti yang mengutamakan orang Melayu, diragui.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos 2022 menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq, menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum.

Dakwanya, nama ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan yang lama selain mendakwa beliau juga tidak mempunyai kawalan ke atas sebarang penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.