Hospital Pendang dikategori pakar minor

Hospital Pendang dikategori pakar minor

TUNKU Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin (tengah) diiringi Dr. Zaliha Mustafa (dua kiri) dan Alexander Nanta Linggi (tiga kanan) meninjau fasiliti yang terdapat di Hospital Pendang di Pendang. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Hospital Pendang yang secara rasmi akan mula beroperasi pada 15 Februari ini dikategorikan sebagai hospital pakar minor setelah dilengkapi 126 katil pesakit dan empat dewah bedah.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, hospital yang melibatkan kos pembinaan sebanyak RM255.27 juta itu akan menawarkan 10 bidang kepakaran antaranya kecemasan, perubatan am, pembedahan am, obstetrik dan ginekologi serta pediatrik.

Selain itu, kepakaran melibatkan orthopedik, anestesiologi, radiologi, patologi dan psikiatri turut disediakan bagi memberi manfaat kepada kira-kira 110,000 penduduk daerah Pendang dan sekitarnya.

“Hospital Pendang akan menjadi pusat rujukan kepada klinik kesihatan dan klinik desa di sekitar daerah ini seperti Klinik Kesihatan Pendang, Klinik Kesihatan Sungai Tiang dan Klinik Kesihatan Kubur Panjang yang menerima jumlah pertambahan pesakit harian yang tinggi setiap tahun sejajar dengan pertambahan jumlah penduduk di daerah ini.

“Selain itu, selaras dengan konsep hospital kluster, Hospital Pendang juga akan menjadi hospital sokongan kepada hospital-hospital pakar major yang lain iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani,” katanya pada majlis penyerahan hospital itu, hari ini.

Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin menyaksikan majlis penyerahan tersebut daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada Dr. Zaliha.

Kerja-kerja pembinaan Hospital Pendang bermula 7 Mei 2018 dan siap sepenuhnya pada 13 Oktober dengan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan menggabungkan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM). 

Kaedah itu bertepatan dengan usaha untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk, mempercepatkan tempoh pembinaan serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja asing.

Sementara itu, Dr. Zaliha berkata, kementerian turut bersetuju supaya Hospital Pendang dilengkapkan dengan satu unit mesin CT-Scan bagi membolehkan proses diagnostik dan rawatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa perlu dirujuk ke hospital pakar major.

“Oleh itu, kita bersetuju meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM4.5 juta kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah bagi melaksanakan segera perolehan mesin CT Scan tersebut pada tahun ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.