Hentikan sebelum saya ambil tindakan - DJ Lin - Utusan Malaysia

Hentikan sebelum saya ambil tindakan – DJ Lin

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita tidak benar tentang keadaan kesihatannya di media sosial.

Katanya, penyebaran berita palsu sedemikian telah mencetuskan kekeliruan dan kerisauan dalam kalangan masyarakat lebih-lebih lagi peminatnya.

“Lebih menyedihkan apabila ada sebarkan kononnya saya dimasukkan hospital kerana menghidap kanser Limfoma. Saya terkejut dengan berita sebegini yang mana tidak benar sama sekali.

“Saya kecewa, cerita seperti itu ibarat mendoakan perkara yang tidak baik kepada diri saya. Disebabkannya, peminat sangka saya kritikal.

“Saya tidak tahu apa tujuan pihak-pihak tersebut mengada-adakan cerita seperti itu tentang saya. Saya harap ia dapat dihentikan segera sebelum saya ambil tindakan,” katanya.

DJ Lin pada 17 Januari 2023 dimasukkan ke hospital KPJ Tawakal dekat sini selepas mengalami pembengkakan kelenjar pada paha kanannya.

Pada 24 Januari 2023, beliau dibenarkan keluar hospital apabila bengkak di bahagian tersebut mengecut dan pulih seperti sediakala.

Dalam pada itu, DJ Lin turut meluahkan rasa kecewa apabila ada segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan gambar-gambar lamanya untuk mewujudkan cerita tidak benar tentang keadaan kesihatannya.

“Ada pihak tidak bertanggungjawab yang mengeksploitasi gambar lama sewaktu saya koma dan sebarkannya di media sosial dengan menulis kapsyen seolah-olah saya sudah meninggal dunia.

“Apabila peminat tekan pautan tersebut, mereka dibawa ke laman sesawang sebuah platform perdagangan dalam talian yang terkenal.

“Saya tak faham apa motif mereka berbuat demikian tetapi saya harap mereka hentikan segera tindakan sebegini sebelum saya ambil tindakan. Tolong faham perasaan saya dan peminat saya,” luahnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN